Ketagih FB dan WhatsApp, suami cekik isteri sampai mati

Loading...

Seorang wanita yang ketagihan menggunakan laman media sosial Facebook dan WhatsApp sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri akhirnya mengundang padah apabila dia mati dibunuh oleh suaminya, lapor India Times. 

Mangsa, Luxmi, 32, mati dicekik suaminya, Hariom, 35, ketika sedang tidur di rumah mereka di perumahan flat sektor 92, India, malam Khamis. 

Bapa mangsa, Balwant Singh, hanya menyedari kematian Luxmi setelah dia datang melawat pasangan itu dan menemui mayat anaknya yang terbaring di sebelah Hariom sebelum menghubungi polis.

Polis kemudian menahan suspek dan dalam keterangannya kepada pihak polis, Hariom berkata dia bosan dengan kelakuan isterinya yang banyak menghabiskan masa bersembang dengan kenalannya di media sosial. 

"Saya sangat kecewa kerana dia tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri serta mengabaikan saya dan anak-anak kami," katanya. 

Difahamkan, pasangan berkenaan telah mendirikan rumah tangga sejak 2006 dan mempunyai dua orang anak. Hubungan pasangan itu juga dikatakan amat baik pada tahun pertama sehinggalah si suami membelikan telefon pintar untuk isterinya. 

"Dua tahun lalu, kelakuannya perlahan-lahan berubah disebabkan telefon pintar itu sehingga dia mula mengabaikan anak-anak dan saya. Kami seperti tidak wujud dalam hidupnya lagi. 

"Dia juga tidak memasak, kerja rumah juga tidak dilakukan malah dia tidak mahu menghantar anak ke sekolah jika mereka tidak membuat kerja rumah. Sedangkan dia hanya menghabiskan masanya dengan Facebook dan WhatsApp. 

"Pada mulanya saya membiarkan dia dan hanya melihat kelakuannya kerana berfikir satu masa nanti dia akan bosan dengan aktivitinya itu. Malangnya tidak dan ia menjadi lebih teruk," katanya.  

Perubahan Luxmi itu membuatkan Hariom terpaksa menggalas semua tanggungjawab isterinya seperti bekerja dan menghantar dua anaknya ke sekolah dan asrama penuh di Kurukshetra. 

Hariom berkata, Luxmi seperti tidak kisah dengan ketiadaan dan berjauhan dari anak-anak. Malah dia lebih banyak menghabiskan masa dengan telefonnya. Hariom pernah cuba meminta untuk melihat akaun media sosialnya, namun Luxmi enggan membenarkan suaminya berbuat demikian. 

"Oleh kerana dia tidak memberi saya melihat akaun media sosialnya, saya sangat curiga terhadapnya dan syak dia mempunyai hubungan sulit.

“Kami bergaduh teruk pada malam Khamis dan ketika dia sedang tidur, saya tidak tahan lagi dengan kelakuan itu," katanya.

Sumber: India Times, Astro Awani