'Kita terima laporan' - Polis akan siasat komen jelik terhadap TMJ

Loading...

Susulan kenyataan pandangan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menyentuh Isu politik baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi netizen sehingga ada segelintirnya yang melemparkan komen-komen yang tidak bertanggungjawab, pihak menerima beberapa laporan berhubung perkara itu. 

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung komen jelik terhadap TMJ, namun tidak mendedahkan berapa laporan yang diterima. 

"Kami ada terima laporan dan siasatan sedang dijalankan. Itu sahaja saya boleh maklumkan ketika ini. Berapa jumlah laporan, saya tidak dapat kongsikan buat ketika ini. 

"Polis akan siasat kes ini seperti biasa dan menyiapkan kertas siasatan sebelum dibawa ke pihak pendakwa raya," katanya. 

Mohd Khalil juga menasihatkan orang ramai berhati-hati dan menjaga budi bahasa ketika memberi komen di media sosial kerana ia tertakluk pada Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) (1998). 

"Kalau kita beri ulasan atau komen dengan menggunakan bahasa jelik, adalah pasti ia melanggar undang-undang," katanya. 

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin mempertahankan kenyataan yang dikeluarkan oleh TMJ yang dikatakan dibuat berdasarkan fakta dan menegaskan TMJ berhak menyatakan pandangannya mengenai perkara yang memberi kesan kepada rakyat. 

Khaled juga menyeru Bangsa Johor perlu bersikap rasional dalam menilai sebarang pendapat yang menyentuh hal politik negara. 

"Saya berharap semua yang membaca boleh bersikap rasional dan berlaku adil kepada TMJ khususnya dalam soal fakta. 

"Semua orang boleh memberi pandangan tetapi kalaupun tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, tidak perlu membalas dengan kasar sehingga hilang adab sopan kita," katanya. 


BERITA BERKAITAN: