Nak rezeki mencurah-curah, cuba curahkan dulu kasih sayang pada anak dan isteri

Loading...

"Kita berkira dengan anak, rezeki akan berkira dengan kita," demikian tulis Mohd Fhais yang berkongsi mengenai pengalamannya. Jika sebelum ini beliau tiada masa diluangkan bersama anak-anak kerana terlalu sibuk bekerja, dalam masa yang sama rezekinya semakin sempit sehingga membuatkan beliau agak tertekan. 

Namun selepas menyedari perkara itu, beliau mula berubah dan kini lebih mengutamakan keluarganya berbanding kerja. Hasilnya? Alhamdulillah, tiada lagi masalah kewangan dan semuanya serba serbi mencukupi. Semoga perkongsian dari Mohd Fhais ini bermanfaat untuk anda semua. 

PERNAH tak kita terfikir, orang tua-tua cakap bila ada anak ni, rezeki murah. Tetapi lain yang terjadi pada kita. Anak dah ramai tetapi rezeki masih sama seperti masa belum ada anak.

PENGALAMAN SENDIRI

Alhamdulillah selepas Annur Rania dilahirkan,rezeki saya mudah saja masuk. Kadang-kadang rezeki tak disangka-sangka dapat. Dapat tawaran kerja di kampung halaman. Padahal tak pernah terfikir pun saya boleh dapat sebab ramai sangat calon yang temuduga. 

Masa berhenti kerja lama, gaji pada bulan itu ditahan sebab berhenti tak cukup notis. Susah juga nak survive pada bulan itu dengan komitmen yang ada. Tetapi Alhamdulillah semua berjaya diharungi. Rezeki ada saja untuk bayar semua.

SEMUANYA BERUBAH APABILA SAYA LEKA

Di tempat baru, kerja bertambah banyak. Kadang-kadang balik ke rumah jam 9-10 malam. Kurang luangkan masa bersama dengan keluarga dan anak-anak. Sedikit demi sedikit wang gaji tidak cukup. Bila wang tidak cukup, mulalah berkira-kira dengan anak. Mainan RM5 pun tak belikan. Sanggup biarkan anak menangis berlinangan air mata. Keluar beriadah jauh sekali. 

Pada mulanya salahkan gaji yang sedikit jika dibandingkan dengan gaji dulu. Tetapi sebenarnya semakin jauh kita mengabaikan anak, semakin jauh rezeki akan meninggalkan kita. Anak-anak adalah anugerah setiap insan bergelar ibu bapa. Mereka adalah amanah Allah kepada kita. Mereka adalah masa depan generasi kita. 

Besar tanggungjawab kita untuk membesarkan mereka menjadi seorang anak yang setia kepada negara dan agama. Saya tidak memanjakan anak, cuma saya tidak pernah berkira dengan anak. Ini 8 amalan saya menjemput rezeki melalui anak:

1. Kanak-kanak pantang nampak mainan. Sebulan sekali beri mereka reward mainan yang mereka mahukan. Selagi termampu, berilah barang kesukaan mereka. Apalah sangat mainan RM5-RM10 asalkan mereka gembira. 

Ingat, jika mereka gembira, kita sebagai ibu bapa turut gembira. Sama juga jika sebaliknya. Bila keluarga gembira, barulah rezeki mudah nak datang. 

2. Berikan mereka pelajaran yang baik. Jangan pilih taska sebab sehala laluan ke tempat kerja sahaja. Fikirkan juga keperluan anak-anak untik belajar. Banyak taska hanya buka televisyen sahaja semasa belajar. Taska yang bagus ialah taska yang penuh dengan aktiviti yang membantu perkembangan otak anak-anak.


3. Luangkan masa bersama anak-anak sekurang-kurangnya seminggu sekali. Enam hari masing-masing sibuk dengan urusan berbeza. Apa kata sehari seminggu buat aktiviti bersama. Contohnya berjalan-jalan di Zoo atau bawa anak-anak pergi ke learning center. Banyak pusat learning center di Malaysia yangb agus untuk perkembangan mereka. 

4. Sediakan keperluan yang terbaik untuk mereka. Jangan recycle sahaja. Apa perasaan si adik yang hanya recycle barangan abang dan kakaknya? Contohnya, belikan baju baru kesukaan mereka. Mesti perasaan sayang itu bertambah-tambah. 

5. Banyak kaedah pembelajaran awal kanak-kanak yang membantu perkembangan otak kanak-kanak sudah ada. Laburlah sedikit untuk masa depan mereka. Tahu tak, 90% otak kanak-kanak berkembang sewaktu umur 0-6 tahun? Semua bahagian kritikal otak berkembang pada masa ini. 

6. Sentiasa prihatin dengan perubahan sikap anak-anak. Jangan sentiasa fikir mereka akan mencari jalan sendiri, sebaliknya bantu selagi mereka boleh dibantu. Percaya tak yang kanak-kanak berusia 1-6 tahun pun boleh mengalami stress? Sekali mereka stress dan kita tidak bantu emosi mereka akan terbantut dan boleh jadi masalah serius. 

7. Jangan marah anak tanpa berfikir panjang. Bila nak marah, paksa diri diam atau minum air dan wuduk. Lebih baik berdiam diri dari marah dan terkeluar kata-kata kesat. Masa ini anak-anak masih belajar dan mereka akan ikut cara anda walaupun masa marah. Jika baik yang mereka nampak, maka baiklah yang mereka buat. 

8. Setiap kanak-kanak ada perkembangan berbeza. Fahami dan cuba bantu mereka. Berikan keperluan yang diperlukan, bukan yang kita mahukan. Berhenti dari membanding bezakan anak dengan kanak-kanak lain. 

Alhamdulillah selepas saya praktis lapan amalan di atas, rezeki mencurah-curah masuk. Satu persatu hutang dapat dibayar habis. Perniagaan juga semakin berkembang sehingga mampu mengupah lima orang pekerja. 

Rezeki adalah ketetapan dan tidak wajar kita merasa ragu dengan rezeki yang diperlukan bagi membesarkan zuriat kita. 

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kami-lah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” 

(Surah al-Isra’, ayat 31)

Nak rezeki mencurah-curah cuba curahkan dulu kasih sayang pada anak dan isteri. Barulah rezeki datang mencurah-curah. Tak percaya? Cuba mewahkan anak isteri, hari ini buat surprise untuk mereka dengan hadiah yang mereka idamkan selama ini dan tengok apa hasilnya. Jangan salahkan saya bila rezeki melimpah tak henti-henti. 

Sumber: Mohd Fhais