Parang makan tuan

Loading...

Padah menyamun, seorang lelaki dilibas dengan parang ketika cuba menyamun dua pekerja Indonesia sehingga menyebabkan tangannya terputus, lapor Sinar Harian

Dalam kejadian jam 6 pagi di Rumah Pekerja Ladang SMC Sungai Toh Pawang, Bedong, Kedah, suspek bersama seorang lagi rakannya menceroboh masuk ke rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abd Hamid berkata, kejadian berlaku semasa kedua-dua mangsa sedang tidur dan terjaga selepas mendengar bunyi bising setelah pintu rumah ditendang. 

"Mangsa yang terjaga, keluar dari bilik dan terkejut apabila mendapati dua suspek tidak dikenali bersenjatakan parang menyerangnya. Akibat dari serangan itu, mangsa cedera di bahagian ibu jari tangan kiri, katanya. 

Mangsa kemudian bergelut dengan suspek sehingga keluar daripada rumah sambil disaksikan oleh rakan suspek. 

Seorang lagi penghuni rumah yang terdengar pergaduhan tersebut terus keluar dan memukul suspek menggunakan batang besi dan rakan suspek yang panik cuba melarikan diri. 

"Mangsa bagaimanapun sempat merampas parang dan terus melibas tangan suspek," katanya. 

Pergelangan tangan kiri suspek terputus dan koyak antara ibu jari dan jari telunjuk tangan kanan. 

Saifi berkata, suspek cuba mendapatkan rawatan dengan laporan mendakwa dirinya telah ditetak oleh pekerja ladang. Bagaimanapun perbuatannya itu terbongkar apabila siasatan dijalankan. 

Tiada kerugian yang dialami ole hmangsa, namun polis akan menyiasat sama ada ia berkaitan dengan pergerakan kongsi gelap ataupun tidak. 




Polis juga turut menahan seorang lelaki berusia 17 tahun yang ditahan di perkarangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), manakala seorang lagi suspek berusia 22 tahun ditahan semasa mendapatkan rawatan di hospital yang sama. 

Semakan rekod mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah terlibat dengan satu kes cubaan samun pada awal tahun ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 394/326 Kanun Keseksaan.