PH akan dakwa BN menipu untuk menang PRU14 - Salleh


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak meramalkan pembangkang akan mendakwa Barisan Nasional (BN) menipu dalam usaha untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sepeti yang dilakukan pada pilihan raya sebelum ini.

Melalui penulisan beliau di blog, Bendahari Agung UMNO itu menyifatkan dakwaan itu 'serangan awal' dari Pakatan Harapan (PH). 

"Mereka tahu mereka tidak akan menang pada PRU13, jadi sebelum PRU mereka 'meramalkan' mereka akan kalah disebabkan penipuan. Selepas PRU, mereka membuat pelbagai dakwaan penipuan untuk menjelaskan mengapa mereka kalah. Sekarang, mereka melakukannya sekali lagi. 

"Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi blognya hari ini berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menipu pada PRU14 9 Mei 2018, supaya apabila mereka kalah, mereka dapat mengelakkan diri mendapat malu dengan menyalahkan kepada penipuan seperti mereka lakukan pada 2013," katanya.

Mengimbas kembali pada musim PRU13, katanya pemimpin Pakatan Rakyat menjelajah ke seluruh negara mengatakan BN akan menipu untuk memenangi PRU dengan pelbagai dakwaan seperti bekalan elektrik terputus, kotak undi tambahan, pengundi hantu. 

"Selepas PRU, mereka kata bekalan elektrik terputus di tempat tertentu ketika pengiraan undi, kotak undi tambahan di bawa ke tempa tertentu, puluhan ribu pengundi hantu diterbangkan dari Bangladesh dan banyak lagi. 

"Semua ini kemudian terbukti palsu. Malah, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh menafikan puluhan ribu rakyatnya diterbangkan untuk mengundi di Malaysia. Ini memerlukan lebih 100 pesawat sewa untuk tujian itu.

"Dan tempat di mana mereka dakwa terputusnya bekalan elektrik disahkan tidak pernah menghadapi sebarang gangguan bekalan elektrik. Malah petugas pembangan di tempat yang mereka dakwa kotak undi tambahan dibawa masuk menafikan kejadian tersebut," katanya.