Puad tak bertanding atas nasihat Sultan Johor

Loading...

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, dia tidak bertanding sebagai calon bebas di P.150 Parlimen Batu Pahat setelah mendapat nasihat daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, lapor Astro Awani

Terdahulu, Puad meluahkan rasa kecewa kerana hasratnya untuk menjadi calon mewakili Barisan Nasional (BN) di Batu Pahat tidak kesampaian dan menyuarakan hasrat mahu bertanding sebagai calon bebas kerana kesal dengan sistem pemilihan calon dalam UMNO.

Puad yang memuat naik kenyataan terbaru itu di Facebooknya semalam berkata, sebagai rakyat Johor yang setia, dia akur dan patuh serta yakin dengan nasihat yang diberikan itu atas kepentingan 'Bangsa Johor'. 

"Sebagai rakyat Johor yang setia kepada Rajanya, saya patuh kepada titah Tuanku Sultan Johor kerana saya yakin sudah tentulah Tuanku memberikan nasihat itu atas kepentingan Bangsa Johor.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih terhadap Tuanku Sultan Johor di atas keprihatinan, tunjuk ajar dan nasihat baginda yang sudah tentu banyak hikmahnya," katanya.


Pada hari penamaan calon semalam, Puad tidak hadir ke pusat penamaan calon, sebaliknya memilih untuk menghadiri majlis bertandang anak perempuannya, Nur Hanini Mohd Puad di sebelah pihak lelaki di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.