'Saya kuatkan hati terima semua itu' - Lan Solo kesal anaknya diejek netizen

Loading...

Apabila bergelar seorang selebriti, segala gerak geri mereka dan keluarga diperhatikan. Apatah lagi jika potret anak-anak kecil mereka diabadikan di dalam media sosial. 

Rata-rata peminat akan menunggu artis kegemaran mereka memuatnaik gambar anak-anak mereka. Dan peminat-peminat ini juga mula akan meninggalkan komen-komen yang memuji kecomelan anak-anak artis-artis pilihan mereka. Tidak kurang juga ada yang mengejek dan memerli anak-anak artis yang tidak mempunyai paras rupa yang elok.

Bagi penyanyi Lan Solo, netizen yang memberikan komen negatif adalah individu yang belum matang pemikiran mereka. 

Dia yang ditemubual oleh Astro Gempak berkata, dia berasa kesal apabila anak perempuannya yang mengalami masalah sumbing diejek oleh sebilangan kecil netizen. Nur Amna Quxandra dilahirkan pada 24 Februari di Pusat Perubatan Rampai Puteri, Kuala Lumpur dan mengalami kecacatan sumbing.

Ujarnya lagi, walaupun ada sebilangan netizen yang memuji anaknya, namun dia tidak dapat lari daripada menerima kata-kata hinaan daripada netizen. 

"Saya juga ada menyemak profil mereka yang memberi komen negatif namun kebanyakkan mereka ini merupakan budak sekolah.

"Saya anggap mungkin mereka ini masih belum matang dalam memberi sebarang komen dan hanya mengikut hati sahaja apabila berkata-kata.

"Namun saya kuatkan hati dan sentiasa tenang dalam menerima semua itu kerana cuma sebilangan pengikut sahaja yang memberi kata-kata negatif," katanya kepada Astro Gempak.