'Tengah cari saiz baju customer dalam stor, terdengar bunyi kerusi ditarik'

Loading...

Assalamualaikum min. Saya ada satu cerita tetapi mohon jangan menghayati sangat sebab kesahihannya tiada siapa yang tahu, kan? Hehe!

Kejadian ini berlaku pada tahun 2014. Saya seorang retail associate dalam sebuah department store di Kuala Lumpur. Nak dijadikan cerita, pernah sekali itu saya nak ambil saiz baju yang dipinta oleh pelanggan. Department store punya store room bercampur dengan semua orang tau. Senang cerita, stor itu besar. Kalau yang bekerja di bahagian department store itu fahamlah. 

Masa itu waktu dah dekat jam 9 malam. Keadaan department store pun sunyi saja. Dalam store itu ada lampu tetapi malap. Jadi memang agak menyeramkan jugalah, cuma sudah terbiasa dengan keadaan sebegitu. 

Semasa saya cuba mencari saiz pakaian yang dikehendaki, saya terdengar bunyi kerusi ditarik dari sebelah dinding. Saya buat tak tahu saja memandangkan kantin makan pun berada di sebelah saja. Tetapi bila nak balik, kantin makan tutup jam lima petang! Saya pun apa lagi, terus segera mencari apa yang saya nak cari dan bila dah dapat, saya terus pecut keluar. 

Keesokannya, kawan saya minta teman nak jahit seluar pula. Seperti yang saya katakan, store itu besar. Jadi di dalamnya ada satu bilik yang tidak ada pintu, yang dijadikan sebagai bilik menjahit. Tempatnya dalam store itu tetapi berada di belakang sekali, jauh dari pintu masuk. Memang kena bawa temanlah. 

Semasa menjahit itu, saya bukalah cerita mengenai kejadian semalam yang berlaku pada saya. Saya cerita pada kawan yang saya pernah terdengar bunyi kerusi ditarik. 

"Normal la tu," katanya yang juga sudah biasa terdengar bunyi yang sama. 

Tidak lama selepas itu kami terhidu bau ayam goreng. Mana pula datangnya bau itu menjengah ke dalam store yang malap dan sunyi itu? Tetapi memang baunya sedap! 

"Weh! Kau ada hidu tak bau ayam tak?" Bapaklah, jadi lapar do," kata saya. 

"Jangan tegur!!" tiba-tiba dia marah saya. 

Saya pandang dia dan dia pandang saya. Kami berdua pun apa lagi, berlari sambil menjerit-jerit. Seluar yang nak dijahit pun tertinggal dalam bilik menjahit. Kami terpaksa dua orang kakak untuk temankan kami sebab dah ketakutan sangat. 

Sambil-sambil itu, kakak yang menemani kami itu pun bercerita tentang pengalaman dia pula. Rasa takut pada masa itu adalah berkurangan sikit sebab kami dah ramai. Dia cerita pada kami begini:

"Saya beritahu awal-awal. Almari baju-baju yang akak tu simpan di stor itu dekat dengan pintu tau. So macam ni, masa akak sibuk susun-susun stok, tiba-tiba ada bola tergolek. Bola budak yang ada gambar kartun Mickey Mouse. 

"Akak pun peliklah, bola anak siapa pula tiba-tiba muncul dalam stor? Jadi akak pun jenguklah pintu kot-kot bola milik anak customer ke. Selepas akak jenguk, kosong. Customer pun tak ada. Department pun kosong je. Agak-agaknya dari mana datangnya bola tu?" ceritanya. 

Selain itu katanya, ada promoter-promoter di situ pernah nampak perempuan berambut panjang dalam bilik menjahit. Malah pernah ternampak kanak-kanak lelaki berlari dalam bilik itu tetapi Alhamdulillah sampai ke hari ini saya belum pernah lagi ternampak atau diganggu 'benda' itu. 

Cerita ini bukan rekaan, saya pun sudah tidak bekerja di situ. Kalau cerita saya hambar, saya minta maaf. Sekian, itu sahaja cerita dari saya. Assalamualaikum.

Hantarkan kisah seram anda ke thereportermyofficial@gmail.com