'Tiba-tiba saya terlanggar seutas tali tangsi direntang di tengah jalan' - Terima 25 jahitan di dagu akibat perbuatan khianat


Seorang penunggang motosikal cedera di bahagian dagu dan leher akibat terkena tali tangsi ketika menunggang motosikalnya di Kampung Kayu Ara, Lebuhraya Sistem Penyuraian Kuala Lumpur Barat Sdn Bhd (SPRINT), kelmarin, lapor Berita Harian. 

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang ketika itu dalam perjalanan menghantar makanan kepala pelanggan berhampiran Glomac Damansara, Jalan Damansara, terlanggar seutas tali tangsi yang merentang di tengah jalan. 

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian dagunya yang terbelah dan lehernya juga turut mengalami luka. Ekoran kejadian itu, mangsa pergi mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menerima 25 jahitan di dagunya itu. 

"Ketika menunggang motosikal dari arah Persiaran Tropicana menghala ke Glomac Damansara melalui Lebuhraya SPRINT, mangsa terlanggar seutas tali tangsi sebaik tiba di lokasi. 

"Tali berkenaan terkena pada dagu dan leher mangsa sebelum terpaksa menerima rawatan di PPUM. Mangsa menerima 25 jahitan pada bahagian luar luka," kata sumber. 

Menurut sumber, pihaknya masih menjalankan siasatan kewujudan tali tangsi berkenaan sama ada ia berunsurkan perbuatan khianat atau sebaliknya. 


Ekoran kejadian itu, mangsa telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 

Sebelum ini juga, pernah berlaku kejadian yang sama di mana penunggang motosikal cedera di leher selepas terlanggar dawai yang dipasang di laluan motosikal di lebuhraya. Kejadian itu menyebabkan ramai penunggang motosikal fobia dan menjadi punca mengapa ada segelintir dari mereka enggan menggunakan laluan motosikal yang disediakan. 


Dalam kejadian Jun 2015, seorang pengguna motosikal pula mendakwa dia cuba disamun sekumpulan lelaki di laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran tol Batu 3, Shah Alam, dengan menggunakan tali tangsi. 

Mangsa mengalami luka di bahagian leher dan bernasib baik kerana tali tangsi tersebut merentap topi keledarnya sebelum mengenai leher. 

Para penunggang motosikal dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan peka dengan sebarang halangan di hadapan agar kejadian seumpama ini tidak lagi berulang.