(Video) 'Kenapa filem Dukun masuk last minute? Kenapa dapat P13?' - Ahmad Idham

Loading...

Laman Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini membuat sidang media yang mengatakan pihak mereka menerima aduan dari beberapa individu dan pihak yang menyatakan kerisauan dengan filem Dukun yang baru lulus untuk ditayangkan di pawagam 5 April ini. 

Menurut Presiden PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, rating P13 yang diberikan pada filem Dukun menimbulkan kegusaran kepada ibu bapa kerana bimbang ada babak-babak dalam filem tersebut yang boleh membawa kesan negatif terhadap penonton belasan tahun.

"Kita menerima panggilan daripada kumpulan-kumpulan dan individu-individu tertentu berkaitan dengan filem Dukun yang mendatangkan kerisauan. Kita bukan nak kacau, cuma nak berkongsi pendapat apa yang kita bawa daripada mereka yang menghubungi kita.

"Antaranya, ini filem sensasi yang kita tengok sebahagian daripada promosinya boleh membawa sedikit kegusaran kepada ibu bapa yang mempersoalkan mengapa rating 13 filem ini sesuai untuk penonton berusia 13 tahun ke atas kerana bimbang ada babak-babak yang mungkin boleh membawa kesan negatif," katanya.

Dalam masa yang sama, Nadzim juga menyatakan kerisauan sekiranya banyak filem-filem berunsur seram akan diterbitkan.   

"Kita di PPIM berpandangan bahawa setiap filem yang dibuat harus mempunyai arah tuju yang jelas daripada pihak yang menjaga industri itu sendiri. Filem ini berkisar dari kisah benar yang pada kita mungkin bercerita tentang kisah yang melibatkan pembunuhan yang seram, yang orang suka tengok. Mungkin ini juga boleh menjemput penonton yang ramai. 

"Kegusaran kita adalah ramai yang akan buat cerita seram saja," katanya. 

Turut dijemput bersama dalam sidang media berkenaan, Penasihat Budaya dan Filem PPIM, Ahmad Idham, yang mempersoalkan mengapa filem Dukun dimasukkan dalam senarai tayangan di pawagam pada saat-saat akhir. 

"Bila filem Dukun ini keluar, kita banyak terima aduan. Bukannya kita hendak menutup atau menyuruh filem Dukun ini tidak ditayangkan. Cuma kebetulan ketika itu ada pula filem lain yang main pada tarikh yang sama dan kebetulan pula sayalah distributor filem tersebut. 

"Timbul satu persoalan besar ialah, kenapa filem Dukun masuk terlalu last minute? Tanpa pemberitahuan yang nyata kepada penerbit-penerbit lain, tanpa melalui syarat wajib tayang yang semua penerbit lalui dan kenapa filem itu mendapat rating P13. 

"Kita tidak ada isu takut untuk bersaing, tetapi kebetulan filem ini datang dengan caranya yang tidak biasa. Tidak ada lambakan filem, tapi kenapa 5 April itu Dukun dimasukkan secara mendadak menimbulkan persoalan. 

"Kenapa filem Dukun masuk dengan cara ini dan melanggar proses yang telah ditetapkan. Cara mereka masuk tidak salah, tetapi kenapa sekarang boleh? Dulu kita pernah juga (nak buat) tetapi tak dilayan kerana setiap filem perlu melalui proses wajib tayang. Kenapa perkara ini boleh terjadi? 

"Dalam masa yang sama juga, saya nak jelaskan kerana banyak spekulasi di luar yang mengatakan pertama, seolah-olah kita takut nak bersaing. Keduanya mereka mengatakan bahawa Ahmad Idham ini akan sentiasa mencari sebab untuk mencari gaduh. Tetapi, kami tiada agenda nak bersaing dengan filem Dukun tetapi menyokong filem Dukun. 

"Kami akan menghantar surat pagi esok kepada Ketua Pengarah Finas memohon menarik keluar filem Qhaliq untuk memberi laluan sepenuh kepada filem Dukun, kerana kami sendiri pun peminat filem Dukun dan saya sendiri pun tertunggu-tunggu filem ini. 

"Kami tidak mahu mewujudkan stigma dalam industri perfileman yang mengatakan kita sesama penerbit ini bercakaran. Apa yang berlaku hari ini kami penerbit adalah mangsa kepada satu sistem yang amat lemah dan pengurusan syarat jawatankuasa wajib tayang yang amat lemah. Kami rasa dianiaya," katanya.