(Video) Polis buru lelaki khianat bendera BN di TTDI

Loading...

Susulan viral video seorang lelaki mencabut dan membuang bendera Barisan Nasional (BN) di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) sejak semalam, polis kini sedang mengesan individu berkenaan, lapor Astro Awani. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah menerima tiga laporan berhubung kejadian khianat itu. 

"Setakat ini tiga laporan polis telah dibuat ke atas suspek oleh orang awam yang menyaksikan kejadian, pemasang bendera, serta wakil pemuda daripada parti berkenaan. Kertas siasatan telah dibuka dan polis sedang di dalam proses menjejaki indivitu terbabit," katanya.

Menurut Mazlan, sekiranya individu dalam video viral itu merasakan bahawa pemasangan bendera parti politik berkenaan adalah salah, dia sepatutnya membuat laporan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bukannya mengambil tindakan sendiri. 

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjelaskan, pemasangan bendera dan bahan kempen sebelum bermulanya proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah terletak di bawah bidang kuasa PBT. 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan kerosakan.