(Video) Wanita hamil 7 bulan dikecam netizen kerana sengaja jatuhkan budak sedang berlari


Berasa terganggu dengan kanak-kanak berlari dalam restoran, seorang wanita hamil tergamak menjatuhkan kanak-kanak terbabit sehingga menyebabkan kepalanya terhentak di lantai, lapor Next Shark

Dalam kejadian yang berlaku pada 19 April lalu di sebuah restoran di Baoji, wilayah Shanxi, China, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak terbabit berlari ke pintu restoran dan terjatuh selepas terlanggar kaki wanita itu. 

Wanita terbabit dilihat sengaja menjulurkan kakinya agar mangsa terlanggar kakinya dan terjatuh. 

Difahamkan, mangsa mahu pergi mendapatkan chopsticks untuk ibu bapanya, namun berlaku kejadian yang tidak diingini. Ibunya yang ternampak kejadian itu terus segera mendapatkan anaknya dan bertanya bagaimana dia boleh terjatuh. 

Tidak berapa lama kemudian, wanita hamil tujuh bulan itu berkata dia berasa terganggu dengan mangsa yang berlari dalam restoran dan beredar dari premis itu sebelum pihak berkuasa tiba di tempat kejadian. 




Video rakaman CCTV itu kemudian tersebar di media sosial dan menjadi topik perbualan hangat dan ramai yang menyelar tindakan wanita terbabit serta mengatakan dia tidak layak menjadi ibu. 

Tidak kurang juga, ada netizen yang menyalahkan ibu mangsa di mana dia sepatutnya mengawasinya anaknya sendiri agar tidak menimbulkan rasa kurang selesa pelanggan lain. 

Lapor Xinhua, wanita itu kemudian menyerah diri di balai polis dan memohon maaf kepada ibu bapa mangsa serta mahu bertanggungjawab di atas tindakannya itu. 

Difahamkan, mangsa yang menghidap penyakit jantung, hanya mengalami gegaran ringan di kepala. Namun tidak mengalami kecederaan yang serius dari insiden itu. 


Akibatnya, wanita terbabit dikenakan denda 1,000 yuan di atas perbuatannya yang tidak bertanggungjawab itu. Sekiranya wanita itu tidak mengandung, dia mungkin ditahan selama 10 hari.