'Baru balik empat hari, rumah dah jadi macam sarang tikus'


Seorang pengguna Twitter meluahkan rasa kesalnya terhadap rakan-rakan serumah yang didakwa tidak menjaga kebersihan ketika ketiadaannya selama empat hari. 

Luahan Iqbal Mirza yang dimuat naik ke Twitter sejak 24 Mei lalu telah dikicau semula 5,053 kali selain mendapat 2,221 tanda suka.

Menurut Iqbal, dia pernah membuat teguran kepada rakan-rakan serumahnya itu dengan pelbagai cara, malangnya tiada perubahan dan kejadian yang sama berulang lagi. 

"Sabar sajalah dapat housemate pengotor entah (dari) negeri mana. Saya baru balik empat hari, rumah dah jadi macam sarang tikus," tulisnya. 

Iqbal pada awalnya membiarkan saja keadaan rumahnya begitu untuk melihat sama ada mereka membersihkan rumah atau sebaliknya. Malangnya, rumah masih dibiarkan kotor walaupun sudah tiga hari berlalu. 

"Saya biarkan lagi tiga hari, tengok diorang bersihkan atau tidak, tetapi tidak. Biasa kalau setahun tinggal, setahunlah dibiarkan macam tu," tulis Iqbal. 





Dalam tweet itu juga, Iqbal juga mempersoalkan mengapa segelintir orang mendakwa orang Kelantan pengotor, sedangkan dia yang berasal dari negeri itu amat mengutamakan kebersihan. Malahan, dia yang terpaksa menjadi 'orang gaji' untuk mengemaskan rumah mereka. 

"Saya cakap Kelantan pengotor? Yang jadi orang gajinya, saya, orang Kelantan. 

"Saya bukan nak labelkan negeri, saya nak bersuara. Sejak ada hak bersuara bebas sekarang, bahawasanya orang Kelantan bukan pengotor. It's up to the individual. Jangan labelkan kami, kami bukan semuanya begitu. 

"Saya boleh terima lagi kalau diorang tak nak kemas. Tetapi sekurang-sekurangnya mereka basuhlah pinggan-pinggan yang telah digunakan itu. 

"Dah tegur macam-macam cara. Tegur dalam WhatsApp group, letak ayat jaga kebersihan bagai, tegur depan, tegur belakang, tegur kiri, tegur kanan, kias-kias pun tak jadi dan pilihan terakhirnya di Twitter," tulis Iqbal yang juga mendedahkan keadaan rumah sebelum ini lebih teruk tetapi tidak didedahkan.



Golongan penyewa tidak kira muda atau tua dinasihatkan untuk menjaga kebersihan tempat tinggal bagi memberi rasa keselesaan kepada penyewa lain. Janganlah mengharapkan orang lain membuat kerja-kerja pembersihan kerana sejak dari kecil lagi kita semua diajar untuk mengutamakan kebersihan.