Berita palsu, polis siasat Tun Mahathir


Susulan tuduhan pesawat disabotaj oleh pihak tertentu, Tun Dr Mahathir Mohamad akan disiasat mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018, lapor Harian Metro. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kes bekas perdana menteri itu adalah salah satu daripada lapan kertas siasatan yang dibuka pihaknya yang membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sejak petang Sabtu lalu. 

"Kertas siasatan yang kita buka setakat hari ini adalah lapan kes kesalahan ketika kempen dari 28 April hingga hari ini. Tiga kes membabitkan khianat dengan menceroboh yang disiasat mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

“Satu kertas siasatan dibuka membabitkan khianat dengan api, bakar. Satu kes mengikut Akta Antiberita Tidak Benar membabitkan Tun M kata kapal terbang beliau disabotaj, satu kes Kertas Enkuiri Polis (KEP),” katanya.

Dalam laporan itu juga Mazlan berkata, pihaknya melarang anggota atau pegawainya terbabit dalam sebarang kempen parti polis dan menjelaskan warga polis tidak menyebelahi mana-mana pihak.