'Bodoh' kalau tukar Perdana Menteri sekarang - Tun Daim


'Bodoh' jika Tun Dr Mahathir Mohamad terus melepaskan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Tun Daim Zainuddin, memetik laporan dari Malay Mail

Bekas menteri kewangan yang dilantik sebagai penasihat kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) berkata, peralihan kuasa seelok-eloknya dilakukan pada pertengahan penggal. 

"Peralihan kuasa di pertengahan penggal. Jika anda mungkir janji kepada rakyat, mereka tidak akan percaya lagi. 

"Memang bodoh jika ada orang fikir harus tukar (perdana menteri sekarang)," katanya dalam wawancara dengan Straits Times Singapura. 

Daim menjangkakan peralihan itu mungkin berlaku pada 2020 kerana Tun Dr Mahathir sebelum ini pernah menegaskan beliau memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun utuk menyelesaikan banyak masalah negara. 

Daim juga mengatakan beliau sudah bertemu dengan Anwar untuk menyampaikan mesej, "Anda sudah cuba beberapa kali pilihan raya tetapi gagal. Anda suka atau tidak, Dr Mahathir berjaya.".

Tun Dr Mahathir kembali menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh selepas 15 tahun bersara sebagai Perdana Menteri keempat yang mentadbir kerajaan pusat selama 22 tahun dari tahun 1981 hingga 2003.