Buat laporan polis konon terjumpa mayat bayi, rupanya bayi sendiri


Seorang remaja perempuan ditahan kerana membuat laporan palsu berhubung penemuan mayat bayi lelaki di belakang rumahnya di Bukit Sentosa, Bukit Beruntung, jam 9 pagi semalam, lapor Harian Metro.

Siasatan mendapati, mayat bayi lelaki itu adalah anak kandung remaja berusia 18 tahun itu, yang baru sahaja dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam. 

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, suspek membuat laporan palsu kononnya menemui mayat bayi lelaki yang ditinggalkan di atas bangku di belakang rumahnya. 

"Suspek mendakwa membawa balik mayat bayi itu dan membersihkannya sebelum diletakkan semula di tempat asal. 

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati terdapat kesan darah di dalam rumah suspek dan suspek mengaku membuat laporan palsu. Malah, suspek mengaku melahirkan bayi lelaki itu pada jam 12.05 tengah malam semalam di dalam tandas rumahnya seorang diri," katanya.  

Suspek telah dihantar ke Hospital Selayan untuk diberikan rawatan dan akan ditangkap setelah suspek dibenarkan keluar dari wad hospital tersebut. 

Pihak polis kini dalam usaha mengesan teman lelaki suspek untuk membantu siasatan yang disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.