'Bukan semua ditarik balik, tetapi kurangkan jumlah anggota' - KPN

Loading...

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dimaklumkan mengenai penarikan balik pegawai dan pengawal keselamatan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. 

Menurut Tun Dr Mahathir, Najib sedang disiasat dan akan diberikan layanan seperti bekas perdana menteri yang lain sekiranya didapati tidak bersalah dalam kes yang membabitkan dirinya pada waktu ini. 

"Dia kini disiasat. Jika didapati tidak bersalah, tentunya dia akan mendapat layanan seperti (bekas) perdana menteri lain," katanya. 

Bekas Presiden UMNO yang gagal mempertahankan Putrajaya di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada PRU14 9 Mei lalu, semalam memuat naik beberapa gambar dirinya memberi tabik hormat dan memeluk sekumpulan pegawai yang didakwa telah ditarik balik oleh kerajaan baharu dari terus memberi khidmat kepadanya. 

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bukan semua pegawai keselamatan Najib ditarik balik. Sebaliknya hanya mengurangkan jumlah anggota yang ditugaskan dan mengekalkan seorang pegawai Aide De Camp (ADC) untuk terus bertugas. 

"PDRM masih menyediakan bantuan kawalan keselamatan termasuk seorang pegawai ADC untuk terus bertugas mengikut SOP yang ditetapkan. 


"Bekas-bekas perdana menteri mempunyai kelayakan-kelayakan tertentu, kita akan akur. Tetapi kita kurangkan jumlahnya, bukan sepertimana sebelum itu. 

"Bukan semuanya ditarik balik. Kita akan tetapkan mengikut SOP yang saya sebut tadi. Ada ADC, ada pengawal peribadi dan ada juga pemandu yang kita akan kekalkan," katanya.