Demi survival, parti tempatan Sarawak wajar sertai Pakatan Harapan


Apabila seorang pemimpin memikul tanggungjawabnya sebaik mungkin kepada rakyat, sudah pasti nama pemimpin tersebut terus meniti di bibir rakyat walaupun pemimpin tersebut sudah meninggal dunia. Begitulah kehebatan Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Datuk Amar Hj Adenan bin Hj Satem, namanya terus mekar di hati rakyat Sarawak. 

Beliau dinobatkan sebagai seorang tokoh politik yang cukup hebat. Sudah pastinya kehebatan beliau menambat hati rakyat di negeri Sarawak sehinggakan rakyat di negeri itu mendakwa mereka mengundi kerana Tok Nan dan bukannya Datuk Seri Najib.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu menyaksikan negeri Sarawak berjaya memenangi 19 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Berdasarkan status Abdul Kareem Firdaus di Facebook, beliau berkongsikan semangat rakyat di negeri Sarawak yang bukan hanya menerima pimpinan dan pandangan pihak kerajaan sebelumnya sahaja malahan juga menerima segala bentuk idea dan sumbangan pihak pembangkang.

PADA pilihan raya DUN 2016 di Sarawak, BN Negeri Sarawak telah mencatatkan kemenangan bergaya kerana telah memenangi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. 

"Kami mengundi Tok Nan! Bukannya mengundi Najib". Begitulah kata-kata hampir semua rakyat Sarawak termasuk diri saya sendiri.

Seluruh rakyat Malaysia termasuk rakyat Sarawak sebenarnya tidak gemar dengan bagaimana pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat pentadbiran negara. Tetapi, mengapa Tok Nan masih mendapat sokongan padu daripada rakyat Sarawak? 

Ini merupakan pandangan peribadi saya. 

Pentadbiran Datuk Seri Najib ketika itu boleh diibaratkan sebagai sebuah kapal berisi emas yang hampir karam di sebuah lautan. Sebelum karam, kita 'bantu' ringankan kapal tersebut dan kaut keuntungan daripada kapal tersebut. Kapal tersebut masih dapat meneruskan sisa-sisa pelayaran dengan kerosakan yang ada. Tetapi kita tahu kapal itu akan tenggelam tidak lama lagi.

Begitulah analogi secara peribadi yang saya fahami mengenai tindak tanduk yang dilakukan oleh Tok Nan ketika itu. Dengan sokongan yang diberikan rakyat Sarawak ketika itu, hampir semua kehendak kita diturutkan pada kerajaan pusat. Kaedah "cubit tiup" yang digunakan oleh Tok Nan ketika itu terhadap kepimpinan Dato Najib begitu mencuit hati. Gurauan berbaur ugutan tetapi terselit pujian begitu berkesan hingga banyak projek mega berupa projek infrastruktur masuk ke negeri Sarawak. 

Teringat pada suatu hari pada awal tahun 2017, ketika memandu ke tempat kerja, pengulas stesen radio memberi info bahawa Sarawak merupakan negeri ketiga tertinggi di seluruh Malaysia mencatat kemasukan pelaburan luar. Ekonomi Sarawak baru-baru ini pesat memuncak. Bangunan-bangunan mulai berdiri megah. Peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan bertambah. Jalan raya bertambah. Di kampung mahupun bandar. 

Adakah semua ini jasa Dato' Najib? Sebenarnya tidak sama sekali. Semuanya adalah kerana kebijaksanaan Tok Nan menyatukan rakyat Sarawak menjadi satu suara. Rakyat Sarawak mengangkat Tok Nan untuk menggapai segala hasrat murni mereka.

Tersebar di media massa apabila Tok Nan menjemput pembangkang negeri untuk berjumpa dan mengadakan sesi perbincangan. Sesi dialog untuk memajukan Negeri Sarawak. Bukannya melabel pembangkang dengan perkataan "paloi" dan sebagainya. Rakyat Sarawak tolak semua perkara begini. Beliau begitu menghormati pihak pembangkang. 

Rakyat Sarawak dapat merasai ketelusan beliau untuk membawa Sarawak menjadi sebuah negeri yang maju. Satu bukti yang begitu nyata apabila hampir tiada lori-lori balak yang memenuhi jalan raya ketika itu. 

Daripada 72/82 kerusi yang dimenangi pada tahun 2016, BN Sarawak ketika itu mendapat markah 88%.  Tahun ini pula. BN sarawak memenangi 19/31 kerusi Parlimen iaitu hanya mendapat markah 61%. 

Pada tahun 2021. Akan ada lagi pilihanraya DUN. Sekiranya parti-parti tempatan masih berada dalam BN, boleh ramal berapa kerusi yang kita akan kekalkan? Rakyat sendiri boleh ramal. 

Wajarkah parti-parti tempatan bersama PH kini? Ini pandangan peribadi saya. Wajar. Pertama, kerana kepentingan survival parti tempatan yang lebih faham kehendak dan keperluan rakyat Sarawak. Yang kedua, Mahathir ialah "Asean Tiger Economies"yang terkenal di seluruh dunia. Bersama orang yang hebat negeri kita akan memercu ke arah kejayaan. InsyaAllah. 

P/s: Kenapa sebelum ini tiada karangan sebegini. Saya berikrar, selepas Tun M mengangkat sumpah, barulah saya akan naik status ini. You know i know.. hehe.