'Esok boleh tak saya pergi office sendiri? Tak payah datang ambil, segan saya' - Kisah Mat Sabu tak nak naik kereta Roti John trending


Viral di media sosial semalam, beberapa gambar Menteri Pertahanan Mohammad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dijemput  dengan kenderaan rasmi kerajaan bersama dengan pengawal peribadi dan polis pengiring yang menunggunya di luar sebuah rumah teres di Shah Alam, dipercayai kediamannya. 

Gambar yang dirakam pada jam 7.55 pagi itu dikongsi Ahmad Sayuti Bashiron menunjukkan Mat Sabu yang sebelum ini hidup sebagai orang biasa berubah apabila beliau dilantik menjawat jawatan penting itu. 


Juga viral di media sosial satu sumber yang mendakwa Mat Sabu tidak mahu beliau dijemput dengan kereta 'Roti John'. Sebaliknya beliau boleh memandu sendiri ke pejabat. 

"Ada sumber beritahu, rumah Abang Mat jauh. Jadi, driver datang rumah untuk jemput ke office. Dia kata,

"Selepas ini, esok boleh tak kalau saya pergi office sendiri? Tak payahlah datang ambil, segan saya. Dengan escort polis, tentera lagi, dengan siren polis lagi. 

"Lagi pun saya seorang saja yang naik kereta panjang ini. Campur dengan driver, jadi dua orang. Itu pun bukannya boleh berbual. Saya di belakang, driver di nun depan." 


"Jadi, tentera pun tanya, "YB nak datang ke MINDEF naik apa?" 

"Abang Mat selamba jawab, "Eh, saya bawalah kereta Viva saya ini. Laju Viva ni. Sampai MINDEF, kalau ada urusan kerajaan, barulah saya naik kereta kerajaan." 

"Tentera jawab, "Mana boleh macam tu YB, malulah MINDEF. Lagi pun YB orang penting." 

"Abang Mat jawab, "Jadi saya kena naik jugalah kereta Roti John ini? Tapi jangan ada bunyi siren, bising." cerita sumber. 

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kesahihan cerita tersebut. Tetapi sekiranya benar, ia wajar menjadi contoh kepada masyarakat dan pemimpin agar sentiasa mengamalkan hidup bersederhana. 



Mat Sabu merupakan Presiden parti Amanah (AMANAH) dan juga Ahli Parlimen Kota Raja setelah menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu. Beliau dilahirkan pada 14 Oktober 1954, pernah bersekolah di Pulau Pinang sebelum menyambung pengajiannya dalam bidang kulinari di Institut Teknologi Mara (Universiti Teknologi Mara).