'Isteri Perdana Menteri pakai beg RM125 je' - Netizen


Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menjadi bualan hangat netizen di media sosial setelah gambar beliau menjinjit beg tangan dipercayai berjenama Marie Claire berharga RM125.10 ketika menghadiri perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, pagi semalam. 

Gambar isteri Perdana Menteri yang berusia 91 tahun yang dimuat naik oleh Facebook Kelab Che Det itu mendapat lebih 28,000 likes dan 5,870 perkongsian di laman sosial berkenaan yang rata-rata memuji kesederhanaan Siti Hasmah. 

Menurut Facebook berkenaan, beg tangan jenama keluaran Bata itu juga ada dijual di laman Zalora dengan harga RM125.10. 



Bagaimanapun, menurut netizen khususnya wanita menafikan beg tangan Siti Hasmah itu keluaran Bata, kerana berdasarkan pengalaman mereka sebagai peminat beg tangan, beg yang dijinjit Siti Hasmah itu tidak sama dengan gambar beg tangan yang dijual di laman Zalora. 

Terdahulu, netizen juga teruja dengan selipar jenama Bata yang dipakai oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas gambar pemimpin itu viral di media sosial. Di kesempatan itu juga, pihak Bata juga mempromosikan selipar tersebut kepada orang ramai. 

Sementara itu di media sosial, netizen memuji Siti Hasmah yang sejak dari dulu lagi dikenali dengan sikap yang bersederhana dalam segala apa jua perkara. Tidak kurang juga mengatakan beliau tetap nampak hebat meskipun menjinjit beg tangan berjenama murah.

"Pada pandangan saya, Tun tidak perlu memiliki barang-barang berjenama kerana dirinya sendiri sudah merupakan jenama yang tiada setarafnya," - Ming Wah Eu. 

"Salute! RM125 rakyat biasa pun boleh memilikinya. Tak perlu pakai yang mewah-mewah seperti Rosmah. Terbaiklah Tun berdua," - Jimmy Jonas. 


Sebelum ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan berita pihak berkuasa menyerbu dan merampas barangan peribadi berupakan beg tangan berjenama mewah seperti Hermes, Birkin dan banyak lagi dipercayai milik isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor bagi siasatan kes skandal 1MDB.

Namun menurut Datuk Seri Najib Razak, itu semua merupakan hadiah yang diberikan oleh rakan-rakannya.