'Itu bukan kenyataan peribadi' - Rafizi tetap pertahankan kenyataannya dibuat merupakan pendirian PKR


Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mendakwa pelantikan 3 menteri kanan Kabinet itu belum muktamad, sekadar pandangan peribadi bukannya mewakili PKR. 

Azmin berkata, PKR komited dengan keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed melantik Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan. 

"Saya dalam pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi, kita telah menegaskan bahawa pertama PKR sambut baik, kesudian Dr Mahathir mengunjungi Anwar petang semalam dan ulangi sokongan Dr Mahathir sebagai perdana menteri," katanya. 

Mengulas perkara yang sama, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar juga meminta Rafizi menerima keputusan itu secara positif dan menyokong kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) untuk melancarkan pentadbiran. 

"Sebagai kawan baik, saya begitu menghargai sumbangan yang diberikannya kepada parti dan negara. Jadi saya minta, demi perjuangan sahabat sejati, marilah kita lakukannya secara positif dan mengatasi apa sahaja yang berlaku untuk melalui fasa baharu pembentukan kerajaan di bawah PH," katanya. 

Bagaimanapun, Rafizi menyangkal kenyataan Azmin kononnya kenyataan dia adalah kenyataan peribadi. 

"Kenyataan yang saya keluarkan itu kenyataan pendirian PKR, bukan kenyataan peribadi. Oleh kerana saya satu-satunya pimpinan kanan yang tidak akan menyertai kerajaan, lalu tiada percanggahan kepentingan, sebab itu ia dikeluarkan oleh saya. 

"Tiada persetujuan dan perbincangan (pelantikan 3 menteri kanan) sepatutnya bersambung Sabtu. PKR minta perbincangan turut melibatkan Anwar, dia Ketua Umum Pakatan Harapan dan PKR. 

"Sedang pimpinan PKR menunggu di Hospital Rehabilisasi Cheras, ketika itu pengumuman dibuat walaupun tanpa penyertaan pimpinan PKR. Selepas itu baru Lim Guan Eng dan Dr Mahathir datang bertemu Anwar," katanya. 

Rafizi juga menggesa orang ramai supaya jangan lupa bila tiada yang berani menegur, mereka akan kembali ke zaman Barisan Nasional (BN). 

Dalam pada itu juga, Rafizi menafikan laporan dan akan memfailkan saman terhadap Sinchew Daily yang mengatakan bantahannya terhadap pelantikan itu dibuat kerana dia mahu menjadi menteri kewangan.