'Jabatan Peguam Negara berkhidmat tanpa campur tangan politik' - Apandi

Loading...

Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali hari ini menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) akan terus memberi khidmat sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan tanpa mengira sesiapa pun yang menjadi pemerintah kerajaan, lapor Sinar Harian

Beliau berkata, AGC akan terus menjalankan fungsinya membuat pendakwaan terhadap penjenayah berdasarkan undang-undang. 

"AGC bebas politik. Selaras dengan moto, kami akan berusaha  menegakkan undang-undang, pada setiap masa, tanpa rasa takut dan campur tangan politik," katanya.

Mohamed Apandi dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015 bagi menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Patail yang ditamatkan perkhidmatan atas alasan masalah kesihatan. 

Setelah dilantik sebagai Peguam Negara, penampilan pertama Mohamed Apandi di mahkamah ialah pada 30 Jun 2016 apabila beliau mengetuai pasukan pendakwa dalam kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan wanita Phang Li Koon di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Pakatan Harapan kini mentadbir Malaysia selepas berjaya menumbangkan BN selepas proses PRU14, semalam.