'Kita ada hutang RM1 trilion, kenapa perlu bebankan negara lagi?' - Peguam lapor SPRM, dakwa Mat Sabu salah guna pesawat tentera


Seorang peguam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa Menteri Pertahanan, Mohammad Sabu telah menyalahgunakan aset tentera untuk lawatan ke Butterworth, Sabtu lalu, lapor Free Malaysia Today

Abu Backer Sidek Mohamad Zan berkata, dia tidak menentang Mohammad Sabu atau Mat Sabu menghadiri majlis berbuka puasa di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pulau Pinang, sebelum ke Tasek Gelugor, kampung halamannya yang terletak berdekatan untuk satu majlis lain, tetapi menyifatkan penggunaan aset tentera untuk tujuan itu sebagai pembaziran. 

Menurut Backer, setiap penerbangan pesawat TUDM Airbus A400M menelan kos sekurang-kurangnya AS$50,000 (RM199,125). 

Mat Sabu ditemani isterinya, Normah Alwi dan bersama pemimpin atasan pasukan tentera menaiki pesawat berkenaan pada jam 5.15 petang untuk menghadiri majlis berbuka puasa dengan warga TUDM di Pangkalan Udara TUDM Buterworth. 

Mat Sabu kemudian menghadiri satu lagi majlis berbuka pausa di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor. 

Backer mendakwa, TUDM menganjurkan majlis berbuka puasa itu bagi mewajarkan penerbangan tersebut, sedangkan mereka boleh saja menaiki pesawat komersial kelas pertama atau perniagaan. 

"Ia sekadar satu alasan. Saya rasa ia terlalu mahal. Jika anda mahu terbang ke Pulau Pinang, anda tidak perlu membelanjakan AS$50,000. Anda boleh menaiki pesawat komersial kelas pertama atau perniagaan. Lebih baik jika anda memandu ke sana dengan pengiring tentera. 

"Kita ada hutang RM1 trilion, kenapa kita perlu membebankan negara lagi?" kata Backer yang juga menjelaskan kos AS$50,000 itu diperolehi dari pemberi maklumat dari dalam industri pesawat yang mengambil kira kos bahan api dan operasi di darat. 



Backer membuat laporan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pagi semalam dan menggesa pihak berkenaan menyiasat kemungkinan berlakunya penyalahgunaan aset tentera. Malah Backer turut meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan juga Ketua Pasukan Tentera serta TUDM disiasat berhubung perkara itu. 

Selain itu, Backer turut menggesa SPRM menyiasat menteri pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang didakwa menyalahgunakan aset tentera ketika memengang jawatan itu. 

Backer mendakwa, penerbangan ke Butterworth dengan pesawat tentera itu mungkin satu bentuk 'ampu' oleh jeneral untuk melanjutkan kontrak mereka yang hampir tamat. 

“Untuk Mat Sabu pula, saya pasti anda amat teringin menaiki pesawat (tentera). Tetapi, biarlah untuk alasan rasmi, bukan balik kampung.”