KKMM nafi musnahkan dokumen


Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad menafikan dakwaan kononnya dokumen-dokumen sulit sedang dilupuskan, lapor Bernama. 

Terdahulu, Ahli Parlimen Lembah Pantai melalui laman Facebook dan Twitter menyatakan dia difahamkan pihak KKMM telah atau sedang memusnahkan dokumen penting. 


"Saya telahpun menghubungi Fahmi dan menjelaskan kepada beliau mengenai perkara ini. Beliau akan membetulkan kenyataan beliau tersebut," katanya yang juga kesal dakwaan yang tidak benar itu telah dikongsi ramai netizen di kedua-dua platform media sosial tersebut. 

Tegas Sharifah, beliau amat memandang serius sekiranya terdapat ketidakpatuhan peraturan yang dilakukan oleh mana-mana pegawai berkaitan perkara berkenaan. Malah katanya, sebaik saja kembal dari menghadiri mesyuarat bersama Perdan Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin lalu, beliau terus mengadakan mesyuarat dengan semua pegawai pengurusan tertinggi KKMM. 

"Salah satu arahan tegas saya adalah supaya semua warga KKMM dilarang sama sekali memusnahkan atau membawa keluar sebarang dokumen rasmi dari premis kementerian.

"Saya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib sekiranya didapati ada warga KKMM yang melanggar peraturan berkaitan dengan perkara ini," katanya.

Sebelum ini, pintu masuk utama ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dikawal ketat dan tiada sebarang dokumen yang dibenarkan untuk dibawa keluar tanpa kebenaran yang sah. 



Semalam, turut dikenakan tindakan yang sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikawal ketat oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan dokumen sulit/penting dibawa keluar dari pejabat.