KSU kunci mulut, Ketua Pengarah SPRM letak jawatan


Mesyuarat khas Perdana Menteri bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa dan ketua-ketua setiausaha (KSU) kementerian baru baru saja berakhir jam 11 pagi tadi. 

Bagaimanapun, usaha wartawan mendapatkan kenyataan daripada KSU kementerian yang hadir gagal kerana mereka enggan memberi sebarang kenyataan dan menyerahkan kepada Tun Dr Mahathir untuk mengumumkannya. 

Mesyuarat yang bermula jam 9.30 pagi itu diadakan bagi membincangkan pelaksanaan 10 janji kerajaan dalam tempoh 100 hari. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad dilaporkan meletak jawatannya pagi ini.

Menurut sumber, surat perletakan jawatannya itu telah diserahkan kepada KSN pada pagi ini. 


Dzulkifli menjawat jawatan itu sejak 1 Ogos 2016, menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM). 

Pintu utama ibu pejabat SPRM di Putrajaya juga dikawal rapi di mana setiap kenderaan yang mahu keluar dari bangunan itu perlu melalui pemeriksaan ketat oleh anggota RELA, sebelum meninggalkan bangunan itu.

Difahamkan, arahan itu baru saja dikeluarkan hari ini oleh pihak pengurusan tertinggi bagi mengelakkan sebarang dokumen rahsia dibawa keluar tanpa kebenaran sah.