Mat Sabu akui masih gementar

Loading...

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu sebelum ini, mengakui masih terasa gementar dan perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri menguruskan Kementerian Pertahanan yang kini dibawah tanggungjawabnya. 

Beliau berkata, jika sebelum ini beliau sudah biasa hidup bersama rakyat, kini terdapat protokal dan peraturan yang perlu dipatuhi untuk menjaga kepentingan semua pihak. 

"Tiada perubahan besar, cuma sekarang bila nak bercakap faktanya perlu dijaga dan mengambil kira perasaan negara-negara jiran kerana saya bukan sahaja Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) saja, tetapi Menteri Pertahanan. 

"Saya perlu cermat kerana sebarang percakapan akan dilihat dan dikaji pihak kawan dan juga lawan dalam politik merangkumi dalam serta luar negara. 

"Memang kena sesuaikan diri dengan kehidupan baharu tetapi saya tak akan ubah ‘style’ saya," katanya.

Mohamad tiba di Wisma Pertahanan pada jam 9.30 pagi tadi dan mengambil tabik hormat dan menerima Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Juniusabdiah Shah Putra Janny.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi serta Panglima Perkhidmatan dan Pegawai Kanan Tentera dan awam Kementerian Pertahanan.

Sumber: Harian Metro