Menteri Sarawak dakwa RTM tidak berlaku adil sejak Pakatan Harapan menang PRU14


Menteri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mendakwa media milik kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini tidak lagi menyiarkan berita kerajaan negeri semenjak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan persekutuan. 

Beliau berkata, beberapa agensi persekutuan telah berhenti bekerjasama dengan mereka menyebabkan ada acara menteri Barisan Nasional (BN) negeri tidak disiar dan disebarkan. 

Secara peribadi katanya, beliau merasakan perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana media sepatutnya bertindak adil menyiarkan atau menerbitkan berita Ketua Menteri atau menteri-menteri lain dalam BN yang mempunyai program yang tiada berkaitan dengan politik. 

"Sarawak tidak seharusnya dihukum media nasional hanya kerana kami pembangkang," katanya sambil menjelaskan tanggapan "jika anda tidak bersama kami, anda menentang kami" sebagai suatu yang tidak sihat. 

"Kami masih rakyat Malaysia dan majlis-majlis ketua menteri kami... kami mulakan dengan nyanyian Negaraku. Kami masih sebahagian dari negara ini," katanya. 

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengalu-alukan Abdul Karim membuat aduan rasmi secara bertulis dihantar kepadanya. 

"(Abdul Karim) dialu-alukan untuk menulis kepada saya mengenainya secara rasmi jika beliau mahu. Jika beliau melakukannya, saya pasti akan melihatnya," tulis Gobind di halaman Facebooknya.

Gobind berkata, kerajaan HARAPAN komited dengan kebebasan media dan tidak bersetuju dengan amalan pentadbiran sebelum ini yang mengawal media. 

Sumber: Dayak Daily, MalaysiaKini