Mesyuarat khas Rabu ini, Sarawak bakal menyertai Kerajaan Pusat?


Semalam media melaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah bertemu dengan Yang di-Pertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bagi membincangkan kedudukan Sarawak dalam Barisan Nasional (BN). 

Menurut sumber dari seorang pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, mesyuarat itu turut dihadiri oleh bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin di Kuala Lumpur.

"Taib akan memanggil Ketua Menteri Sarawak Abang Johari sama ada hari ini atau esok untuk bertemu," katanya yang juga tidak menolak kemungkinan membentuk gabungan di peringkat negeri, yang dirancang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk keluar dari BN jika Pakatan Harapan (PH) berjaya tawan Putrajaya. 

"Kerajaan negeri yang bebas dari BN akan membawa idea agenda Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963," katanya. 

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari yang juga merangkap Presiden PBB dan Pengerusi BN Sarawak akan mengadakan masyuarat khas di Ibu Pejabat PBB pada Rabu ini untuk membincangkan hala tuju baharu parti berkenaan. 

Mesyuarat itu diadakan susulan perubahan kepimpinan Kerajaan Pusat yang sekali gus meletakkan kerajaan BN Sarawak sebagai pembangkang. 

Dalam PRU14, BN Sarawak menang 19 dari 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak, manakala PH menang 10 kerusi  (DAP 6 dan PKR 4) dan Bebas 2 kerusi. 

"Ia adalah mesyuarat pertama BN Sarawak selepas mencatatkan kemenangan dalam PRU14, sekali gus mengekalkan kedudukan Sarawak sebagai 'kubu kuat' BN. 

"Bagaimanapun, tuah tidak menyebelahi kita di peringkat Kerajaan Pusat apabila kepimpinan berubah selepas PH yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir menguasai keseluruhan keputusan PRU14. 

"Di Sarawak kita berpegang kepada prinsip kematangan politik dengan meletakkan kepentingan negeri dan rakyat melebihi segala-galanya," katanya. 

Walau bagaimanapun, Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, menentang keras jika parti-parti komponen BN Sarawak khususnya PBB berhasrat menyertai PH di peringkat pusat. 

Chong juga menyifatkan kemasukkan PBB dalam PH seolah-olah menerima kemasukan UMNO. 

"Kita sudah bekerja keras melawan rejim 'korup dan menyeleweng', tidak masuk akal untuk kita membenarkan BN Sarawak khususnya PBB menyertai PH. PH Sarawak tidak akan menyokong dan membenarkan perkara itu berlaku," katanya. 

Chong berkata, PH Sarawak hanya akan menerima kemasukan wakil rakyat BN Sarawak yang telah melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana pihaknya tidak mahu segala penyelewengan yang berlaku selama ini 'hilang' begitu sahaja selepas menyertai PH Sarawak.