Najib dakwa pemimpin BN banyak terima gangguan 'Panggilan Spam' dari nombor antarabangsa


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera terhadap pihak yang melakukan panggilan spam yang didakwa telah mengganggu ramai pemimpin Barisan Nasional (BN). 

Menurut tweet yang dimuat naik Najib itu, para pemimpin BN menerima panggilan spam dari nombor antarabangsa menyebabkan telefon yang diserang itu tidak dapat berfungsi seperti biasa. 

Dalam masa yang sama, Najib mendakwa banyak laman web BN tidak dapat berfungsi seperti biasa. 

"Saya mengecam sekeras-kerasnya taktik 'Panggilan Spam' yang diterima ramai pemimpin BN dari nombor antarabangsa.

"Telefon yang diserangi 'spam' ini tidak dapat berfungsi seperti biasa. Selain itu banyak laman web BN pun tidak boleh diakses. Saya telah arahkan supaya tindakan segera diambil," tulisnya. 

Sementara itu di media sosial, beberapa netizen juga mendakwa menghadapi masalah yang sama.