'Perdana Menteri ke-7 akan dilantik sebelum jam 5 petang' - Mahathir


Bakal Perdana Menteri ketujuh Malaysia, Dr Mahathir Mohamed mengesahkan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dihapuskan dan digantikan dengan sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sebelum ini. 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Malaysia tidak memerlukan GST dan cadangan memansuhkan GST itu adalah antara 10 perkara yang terkandung dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). 

Beliau juga menggesa majlis angkat sumpah Perdana Menteri ke-7 segera dilakukan selepas mendapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V kerana Malaysia pada waktu ini tidak mempunyai kerajaan, undang-undang dan perlembagaan. 

"Kami mempunyai empat parti yang kami panggil dengan nama Pakatan Harapan. Tetapi kami bertanding menggunakan logo salah satu parti kami. Ia telah menyebabkan kekeliruan (yang menjadi punca kelewatan).

"Hari ini saya ingin menekankan Pakatan Harapan telah memenangi majoriti yang jelas. Jadi kami berhak untuk membentuk kerajaan," katanya pada sidang media khas Pakatan Harapan tengah hari tadi. 

Mahathir menjangka, Malaysia akan mendapat Perdana Menteri ketujuh sebelum jam lima petang ini.

Sumber: mStar Online