Pindah 50 buah tas tangan jenama mewah dipercayai milik isteri bekas pemimpin, Exco Pemuda PPBM buat laporan polis


Exco Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Ben Ali tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan pihaknya menerima maklumat yang mendakwa barangan peribadi dipercayai milik isteri bekas perdana menteri sedang dipindahkan ke sebuah kondominium mewah. 

Menurut Ben, pihaknya menerima maklumat dan rakaman video yang menunjukkan sejumlah 50 tas tangan jenama Birkin dipercayai milik Rosmah Mansor yang setiap satunya bernilai RM200,000 ke dalam dua buah kondominium mewah di Pavillion Residence Kuala Lumpur. 

"Setiap kotak tas tangan tertera label nama si pemberi kepada penerima (hadiah pemberian). Dipercayai penerima adalah isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor. 

"Oleh kerana Najib dan Rosmah terpalit dengan skandal penyelewengan wang secara besar-besaran, kami selaku Exco Pemuda PPBM Nasional ingin menggesa serbuan dilakukan ke unit kondominium di Pavillion Residence tersebut.



"Selain daripada tas tangan yang mencurigakan, van yang membawa tas tangan tersebut tertera 'Jabatan Perdana Menteri' (JPM) dan jata negara. Jika benar van itu milik JPM, maka ini adalah salah guna kuasa di mana Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan aset milik kerajaan tanpa kebenaran dan untuk kegunaan peribadi," katanya.