Polis serbu dan rampas barang peribadi Najib untuk siasatan

Loading...

Tiada dokumen dirampas, sebaliknya hanya barangan peribadi seperti beg tangan, pakaian serta hadiah diambil polis sebagai bukti dari kediaman Datuk Seri Najib Razak di Taman Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Peguam bekas Perdana Menteri, Datuk Harpal Singh Grewal, mengesahkan perkara itu kepada pemberita sebaik keluar dari kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, 4.25 pagi tadi.

Menurut Harpal, polis melakukan penggeledahan untuk mendapatkan barang bukti bagi membantu siasatan.

Katanya, Najib dan ahli keluarga memberi kerjasama baik sepanjang hampir enam jam proses berkenaan.

“Bagaimanapun, polis tidak maklumkan berkaitan kes apa. Ia (penggeledahan) mengambil masa yang agak lama (hampir enam jam) kerana kediaman itu agak besar dan mereka (polis) memeriksa setiap bilik," katanya.

Harpal turut mengesahkan sebuah lagi kediaman Najib di Kuala Lumpur turut diperiksa polis namun tidak memberitahu lokasi sebenarnya.

"Polis tidak rampas apa-apa dokumen, cuma ambil beberapa barangan peribadi antaranya pakaian, beg tangan dan barangan berbentuk hadiah.. dalam dua, tiga kotak. Hari ini memang tiada tangkapan dan boleh dikatakan mereka (polis) tidak temui apa-apa bukti," katanya.

Harpal turut mengesahkan tiada sebarang arahan diterima daripada polis untuk Najib tampil memberi keterangan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan serbuan ke atas rumah bekas Perdana Menteri, malam tadi yang dilakukan untuk tujuan penggeledahan dokumen.

Lebih 15 kenderaan dan sebuah trak polis masuk ke perkarangan rumah bekas Perdana Menteri di Taman Duta di Kuala Lumpur itu, 10.15 malam tadi.

Trak polis terbabit dilihat membawa kotak-kotak yang dipercayai akan digunakan untuk mengisi dokumen dan bahan bukti yang akan dirampas dalam serbuan itu.


Kediaman Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residence Apartment, Kuala Lumpur turut diserbu polis jam 10 malam tadi. Lebih 20 pegawai dan anggota polis kelihatan memasuki premis mewah berkenaan.

Polis merampas beberapa barang dan dokumen. Setakat jam 3 pagi tadi, anggota polis dilihat meninggalkan perkarangan Pavilion Residences bersama barangan yang dirampas.

Barangan terbabit dipercayai hasil penggeledahan yang dilakukan polis sejak 10 malam tadi.

Sumber: Harian Metro