Sama ada betul atau tidak, saya tetap akan teruskan kehidupan - Syafiq Kyle


Dalam kenyataan awal pelakon Syafiq Kyle berhubung viralnya video yang didakwa dirinya terlibat dalam panggilan video seks di media sosial disifatkan sebagai 'tergantung', Syafiq dalam kenyataan terbarunya pula berkata dia tetap perlu meneruskan hidup dan melupakan apa yang telah berlaku. 

"Betul atau tidak orang dalam video yang tular itu adalah saya atau sebaliknya, saya tetap akan meneruskan kehidupan dan lupakan apa yang sudah berlaku. 

"Saya juga serahkan kepada penilaian dan spekulasi netizen jika mereka menganggap jawapan yang diberikan ini tergantung atau sebaliknya," kata Syafiq dalam sidang media tertutup yang berlangsung di hotel terkemuka di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, malam tadi. 

Menurut Syafiq, dia sudah dapat bayangan mengenai perkara itu dua tahun lalu, tetapi tidak mengetahui kesahihannya. Juga tiada sebab untuk dia mengaku atau tidak kerana yang bertanggungjawab memanjangkan atau pendekkan perkara itu adalah dirinya sendiri dan dia memilih untuk menghentikannya. 

"Dua tahun lalu saya sudah menghidu tentang video tersebut. Ada yang jumpa saya, beritahu mereka sudah melihatnya. Saya tertanya-tanya video apa yang dimaksudkan sehinggalah ia tersebar dua hari lalu. 

"Sejujurnya saya tidak mahu tengok video-video itu sejak ia tular dan dikongsikan di media sosial. Saya tidak sangka ia jadi sebesar ini dan terjadi pada bulan Ramadan, di mana sepatutnya menjadi bulan saya membersihkan dosa-dosa lampau saya. 

"Bagi saya, biarlah orang nak cakap itu saya atau bukan. Saya juga menghargai dugaan ini sebagai perkara yang mematangkan saya. 

"Ramadan adalah bulan untuk kita menyucikan diri dari segala dosa yang kita lakukan. Sama ada dosa itu saya buat atau tidak, saya tetap bersyukur ujian ini datang pada bulan yang mulia ini. 

"Saya melihat apa yang berlaku sebagai dugaan yang paling besar sepanjang berkecimpung sebagai anak seni. Ia membabitkan nama dan maruah keluarga. Malah emak saya menangis bila dapat tahu mengenai isu video tular terbabit. 

"Dari segi tindakan pula, pihak pengurusan dalam proses menyusun satu demi satu untuk mencari penyelesaian terbaik isu terbabit. 

"Pihak kami akan mendapatkan nasihat peguam terlebih dulu sebelum membuat laporan kepada pihak polis nanti," katanya. 

Apabila ditanya media adakah Syafiq mengenali wanita bernama Mira yang disebut dalam video viral itu, Syafiq berkata dia mungkin mengenali wanita itu. 

"Mungkin kami pernah kenal, saya sendiri tidak mahu memanjangkannya," katanya.