'Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan PRU14' - Najib bakal lepaskan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi BN?

Loading...

Setelah didesak untuk meletak jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam mempertahankan kuasa mentadbir di Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataan terkininya berkata dia akan bertanggungjawab dan mempertimbangkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN. 

"Saya mengambil maklum pelbagai pandangan pemimpin dan ahli-ahli parti di semua peringkat mengenai kedudukan saya. Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan PRU14.

"Sebarang keputusan saya itu akan memastikan UMNO dan BN sebagai parti yang paling banyak kerusi di Parlimen terus kekal utuh agar dapat terus menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat," katanya.

Dalam kenyataannya itu, beliau akan memaklumkan keputusan dan perancangan masa depannya dalam masa terdekat. Namun memohon semua ahli UMNO dan BN bertenang dan tabah serta terus menguatkan ikatan dalam suasana politik yang mencabar pada waktu ini. 

"Sebarang keputusan yang saya akan buat nanti, hanyalah untuk memastikan UMNO dan BN kembali kuat dan mendapat semula kepercayaan rakyat. Saya yakin UMNO dan BN dapat mengembalikan kekuatan ini kerana sepanjang 60 tahun mentadbir negara, kita telah membuktikan kemampuan kita berkhidmat kepada rakyat Malaysia," katanya.

Beliau juga meminta penyokongnnya reda dengan ketentuan Allah dan melihat semua itu sebagai satu hikmah dan berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan.