'Saya masih bertugas seperti biasa' - KP Jabatan Pendaftaran Pertubuhan


Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Surayati Ibrahim menafikan dakwaan di media sosial dia akan bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya dia masih bertugas seperti biasa, lapor Utusan Malaysia. 

"Saya masih belum diarahkan untuk apa-apa tindakan dan setakat ini saya masih menjalankan tugas seperti biasa," katanya. 

Terdahulu, ROS mengeluarkan arahan pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir menyebabkan parti itu terpaksa bertanding menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

Tun Dr Mahathir yang kini sedang melakukan 'pembersihan' dalam kerajaan telah mengarahkan beberapa pegawai tinggi kerajaan untuk bercuti, ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta bekas pegawai tinggi juga disiasat jika mempunyai kes salahguna kuasa bagi kepentingan pentadbiran kerajaan sebelum ini. 

Dalam laporan MalaysiaKini, Tun Dr Mahathir juga menolak UMNO dari menyertai Pakatan Harapan (PH) kerana status parti Melayu itu belum tentu sama ada sah atau sebaliknya. 

"Terpulang kepada mahkamah atau ROS untuk memutuskan status pendaftarannya," katanya. 

20 April lalu, 16 individu yang ketika itu masih merupakan anggota UMNO memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan ROS membenarkan parti menangguhkan pemilihan partinya. 

Mereka juga memohon mahkamah mengarahkan ROS mengeluarkan notis pembubaran sementara dan muktamad di bawah Seksyen 14 (2) dan 14 (5) di bawah Akta Pertubuhan. 

UMNO sepatutnya mengadakan pemilihan pada 28 Februari lalu dan 19 April bagi Majlis Tertinggi dan 191 Bahagian UMNO.