'Saya mohon maaf' - Anak peniaga restoran tampil mengaku bersalah dan mohon maaf


Susulan kejadian anak pemilik Restoran Selera Rasa Segar (SRS) yang didakwa membuang perkakasan perniagaan seorang wanita di Bazaar Ramadhan Stadium Tertutup Miri, Sarawak, pemiliknya telah tampil memohon maaf dan akan menanggung 'kerosakan' yang telah berlaku. 

Terdahulu, gerai SRS di bazaar itu telah diserbu orang awam sehari selepas kejadian setelah video kejadian itu viral di media sosial. 

Sekumpulan lelaki dilihat memarahi dan menengking pemilik SRS biarpun sudah berulang kali menyatakan dia akan segala kesilapan dan kerosakan yang telah dibuat oleh anaknya, Mustakim. 

Dalam video yang viral itu juga, juga didapati kehadiran beberapa anggota beruniform dipercayai kakitangan Majlis Bandaraya Miri (MBM). 



Pada sebelah malam hari yang sama, kedua-dua pihak berkumpul di sebuah kedai bagi membuat permohonan maaf secara terbuka dan meminta netizen dan orang ramai tidak lagi melakukan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya, lebih-lebih lagi di bulan ramadhan. 

"Saya sebagai ayah kepada anak saya Muhammad Mustakim dan pemilik restoran Rasa Segar, dengan rasa rendah hati ingin memohon maaf kepada pihak yang terbabit dalam insiden kelmarin dan petang tadi.

"Jadi saya rasa bertanggungjawab di atas kejadian walaupun bukan saya, kerana anak saya, saya mengambil tanggungjawab ini dengan perasaan rendah diri memohon ampun dan maaf kepada semua. 

"Walaupun saya sebagai seorang ayah, saya tidak dapat menghalang apa yang akan berlaku kerana itu adalah takdir Allah. Kita sebagai manusia hanya merancang dan Allah adalah perancang yang terbaik.

"Saya sebagai warga Miri yang sudah bermastautin lebih dari 28 tahun, saya rasa semua ada yang di Miri ini adik beradik saya, walaupun bukan saudara mara saya. 

"Saya berharap pihak yang terlibat akan mengambil sikap yang positif dan menerima permohonan maaf saya ini dan tidak berdendam agar kita dapat menjalankan perniagaan dan kehidupan di Miri ini," katanya. 

Anak lelakinya juga meminta maaf di atas perbuatannya tempoh hari sehingga membuat peniaga sayur berkenaan menangis dan tidak kembali berniaga sehari selepas kejadian itu. 

"Saya mengaku saya bersalah kerana melakukan perbuatan yang kurang sopan dan tidak bermoral. Saya mohon maaf," katanya. 


Melalui laman Facebook rasmi SRS juga memaklumkan bahawa pihaknya akan membayar pampasan terhadap peniaga sayur berkenaan berserta permit tapak baru yang mana akan ditanggung oleh pihaknya. 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak SRS pada jam 10.54 pagi semalam, SRS memohon maaf di atas kejadian itu dan menjelaskan tiada sayur peniagaan berkenaan yang dibuang ke dalam longkang. Sebaliknya hanya bekas-bekas kosong yang ditinggalkan peniaga itu. 

"Untuk pengetahuan, mereka block terus jalan itu dan sebab itu abang saya buang bekas-bekas kosong itu pada waktu pagi. Waktu itu, belum ada peniaga lain termasuk makcik itu yang datang. 

"Memang salah abang saya sebab terlalu mengikut emosinya. Bapa saya memang marah dengan tindakannya itu. Sepatutnya dia tidak membuang barang peniaga lain walaupun orang itu melakukan kesalahan. Kita ada mulut dan boleh dibawa berbincang. 

"Mengenai makcik itu, kami sudah pun meminta maaf di atas tindakan abang saya itu. Ganti rugi telah kami uruskan dengan makcik berkenaan. Kotak-kotak yang ada di situ pun semua okey, tiada yang rosak. 

"Makcik itu juga telah menasihatkan abang saya dan dia menerima nasihat itu dengan hati terbuka. Makcik itu juga kata silap dia juga sebab berniaga di situ tetapi abang saya tidak sepatutnya membuang kotak-kotaknya. 

"Abang saya telah pun mengakui kesalahannya. Dengan rasa rendah diri, kami minta maaf sekali lagi bagi pihak SRS," kata kenyataan itu. 


BERITA BERKAITAN: