'Saya tidak akan mengamalkan politik dendam' - Syed Saddiq


“Saya tidak pernah dan tidak akan mengamalkan politik dendam. Rakan-rakan UMNO dan PAS tetap mempunyai peranan di dalam rancangan Muar dan Malaysia saya”

Pilihan Raya ke 14 telah menyaksikan parti Pakatan Harapan meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu. Pakatan Harapan memperoleh 104 kerusi menewaskan Barisan Nasional (79), PAS (18), DAP (9), Parti Warisan Sabah (8), Bebas (3) dan Parti Solidariti Tanah Airku (1). 

Kemenangan Pakatan Harapan juga telah mencatat sejarah sebagai parti pembangkang pertama yang memenangi pilihan raya pada kali ini setelah beberapa penggal  berturut-turut dimenangi oleh Barisan Nasional.

Di sebalik kemenangan ini, sudah tentu ada individu-individu yang telah berjuang sepenuh hati untuk membela nasib rakyat. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan ikon anak muda yang telah mencatat sejarah tercalon sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Muar. 

Suara lantang anak muda ini memperlihatkan beliau berjaya menambat hati orang Muar. Beliau telah menewaskan Datuk Razali Ibrahim dari BN dengan meraih undi sebanyak 22,341 berbanding Razali sebanyak 15,388. Apabila berkecimpung dengan dunia politik, segala pengalaman pahit dan manis termasuk berdepan dengan musuh politik harus ditelan. Tetapi baginya, tiada istilah dendam di dalam arus politik. 

TANGGAL  9 Mei 2018 adalah tarikh bersejarah di Malaysia. Saya percaya pengalaman Pilihan Raya ke 14 ini telah mematangkan saya dan membuatkan saya merasa takzim akan kerdilnya diri ini. Sesungguhnya, ia terbukti bahawa kuasa mengubah dan membawa Malaysia ke arah yang lebih baik adalah di tangan rakyat.

Jujurnya, keputusan PRU14 di Parlimen Muar ini adalah hasil tenaga dan keringat anggota pasukan Muar, sukarelawan dan sumbangan ikhlas rakyat Malaysia. Anda adalah inspirasi kepada anak muda bernama Syed Saddiq.

Kepada lawan saya di Muar, saya ucapkan tahniah dan menghulur tangan persahabatan dan kerjasama ke arah membangunkan dan memajukan Muar sebagai Mutiara Johor. Saya percaya impian dan harapan saya menjadikan Muar sebagai enjin ekonomi Utara Johor akan lebih cerah andai kerjasama erat dicapai antara semua.

Saya tidak pernah dan tidak akan mengamalkan politik dendam. Rakan-rakan UMNO dan PAS tetap mempunyai peranan di dalam rancangan Muar dan Malaysia saya. Janji saya, masa depan anda tidak akan malap hanya kerana saya dipilih mewakili rakyat bagi penggal ini.

Saya sendiri pernah menjadi mangsa politik dendam dan kepartian hanya kerana perbezaan pandangan di dalam politik. Karier saya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ditutup rapat. Anak murid saya dihalang dari menyertai pertandingan debat di peringkat dunia hanya kerana saya adalah gurunya. Politik dendam ini akan saya hapuskan agar semua tidak menimpa nasib yang serupa dengan saya. Era politik matang akan kita mulakan.

Kemenangan ini hanyalah satu permulaan. Saya tak masuk dunia politik untuk menang. Saya masuk untuk membela nasib anak muda. Saya masuk untuk kembalikan kuasa kepada rakyat supaya tidak akan ada mana mana pemimpin politik atau parti politik yang akan terlalu berkuasa. Saya masuk untuk memastikan Malaysia will rise once more as the Asian tiger. Together, we can do the impossible my fellow Malaysians.

Regards,