'Tiada apa untuk dibanggakan dengan pemberian BR1M, rakyat hanya boleh berbangga apabila mereka kaya' - Pemimpin dakwa anak Mahathir hina penerima BR1M


Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) menyelar kenyataan Tan Sri Mokhzani Mahathir yang didakwa memperlekehkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), sekali gus menghina penerima bantuan itu, lapor media tempatan. 

Terdahulu, anak kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu dalam ceramahnya di pentas Pakatan Harapan (PH) di FELDA Sungai Tiang, Pendang, Kedah berkata, 

“Kita boleh berbangga dan menjadi jaguh apabila kita kaya. Kita boleh berasa besar dengan wang yang diusahakan sendiri. Itu yang penting. Ia bukan tentang orang memberikan wang kepada kita untuk hidup. Itu bukan kejayaan. Kita boleh berbangga apabila kita mampu memastikan mata pencarian dan boleh menjaga keluarga kita,” katanya.


Mengulas kenyataan Mokhzani, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kenyataan Mokhzani itu sama seperti menafikan janji pembangkang untuk meneruskan bantuan itu jika PH diberi mandat untuk mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). 

"Orang tahu BR1M diterima rakyat dan untuk dia mengatakan BR1M tidak diperlukan rakyat daif, dia tidak tahu ke keadaan mereka yang benar-benar daif? 

"Saya rasa beliau tiada kredibiliti dan kedudukan dalam parti untuk memberi hujah begitu," katanya. 


Sementara itu, Vell Paari, anak kepada bekas menteri kabinet Tun S Samy Vellu, berkata, Mokhzani harus berhenti memandang rendah dan menghina penerima BR1M. Beliau juga menyifatkan Mokhzani angkuh dan tidak bertanggungjawab. 

"Saya ingin mengingatkan Mokhzani supaya berhentilah daripada memandang rendah terhadap mereka yang menerima BR1M. Bukan semua orang di Malaysia adalah anak perdana menteri selama 22 tahun yang kini menjadi jutawan," katanya yang turut menggesa Mokhzani memohon maaf kepada penerima BR1M. 


Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemberian BR1M dapat membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menampung sedikit sebanyak perbelanjaan mereka. 

"Orang kaya memang tak akan faham konsep ini. Orang kaya menganggap BR1M tidak mempunyai nilai tetapi bagi mereka yang berpendapatan rendah, RM1,200 yang kita berikan adalah sangat bermakna," katanya. 

Dari segi ekonomi katanya, pemberian BR1M memberi kesan pengganda kepada ekonomi negara dari segi perbelanjaan pengguna.