Tunjuk mana anggota polis makan coklat dan kami akan ambil tindakan - Amar Singh


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menggesa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan bukti dan mengenalpasti anggota polis yang didakwa makan coklat dan meminta makanan disediakan ketika melakukan pemeriksaan di kediamannya pada Rabu dan Khamis lalu. 

Amar Singh menegaskan, pihaknya tidak akan bertoleransi dengan kelakuan tidak profesional anggota yang terbabit dalam insiden itu jika ada bukti kukuh menunjukkan mereka berbuat demikian. 

"Tindakan tegas akan diambil ke atas anggota yang terbabit melanggar prosedur dan arahan yang sudah diberikan sekiranya dakwaan berkenaan didapati benar," katanya memetik laporan dari Berita Harian

Terdahulu, isteri bekas perdana menteri itu, Datin Seri Rosmah Mansor membuat teguran terhadap pihak berkuasa agar tidak membocorkan butiran siasatan berikutan gambar-gambar barangan yang dirampas viral secara meluas di media sosial sehingga menjadi bahan persendaan netizen. 

Bagaimanapun menurut Amar Singh, tiada pegawai dan anggotanya yang dibenarkan membawa telefon bimbit ketika serbuan dan pemeriksaan dijalankan. Sebaliknya,  hanya komander dan timbalan komander lapangan dikecuali dari larangan itu bagi menyelia keseluruhan operasi. 

"Merujuk kepada dakwaan penularan gambar ketika pemeriksaan di media sosial, tiada pegawai dan anggota yang dibenarkan untuk membawa telefon bimbit kecuali komander dan timbalan komander lapangan. 

"Gambar dan video di lokasi hanya dirakam oleh jurugambar rasmi polis. Sekiranya pihak berkenaan dapat tampil dengan bukti gambar yang tular, siasatan akan dijalankan bagi mengesan punca penyebaran gambar berkenaan," katanya. 

Difahamkan, seramai enam pegawai polis kanan dilantik sebagai komander lapangan untuk menyelia operasi serbuan dan penggeledahan itu. 

"Mereka juga diberi tanggungjawab untuk memastikan anggota di bawah seliaan mereka bertindak secara profesional dan menghormati penghuni kediaman iaitu bekas perdana menteri dan ahli keluarganya," katanya. 

BERITA BERKAITAN: