UPKO keluar BN, sertai Warisan untuk membentuk kerajaan campuran Sabah

Loading...

Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmmogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menemui Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Afdal di kediamannya di sini, Khamis.

Beliau yang diiringi Setiausaha Agung parti Datuk Donald Peter Mojuntin tiba di kediaman Mohd Shafie pada kira-kira 11.30 pagi.

Kedua-dua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) itu kemudian mengadakan perbincangan dengan Mohd Shafie di ruang tamu kediaman pemimpin Warisan itu sebelum Madius dan Donald meninggalkan kediaman Shafie pada kira-kira 12.12 tengah hari.

Tidak lama selepas itu Upko mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan tentang pembentukan kerajaan di Sabah.

Susulan mesyuarat tersebut, Tangau mengumumkan Upko keluar dari Barisan Nasional dan akan membentuk kerajaan campuran dengan Warisan.

Upko menang lima kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), semalam.

Lima DUN tersebut adalah DUN Kadamaian menerusi Ewon Benedict, DUN Paginatan (Datuk Abidin Madingkir), DUN Nabawan (Datuk Bobbey Ah Fan Bin Suan), DUN Kuamut (Datuk Masiung Banah) dan DUN Kuala Penyu (Datuk Limus Jury).

Satu Parlimen adalah Tuaran yang dimenangi Madius.

Pagi tadi, Mohd Shafie pergi ke Istana Negeri tetapi tidak dibenarkan memasuki kawasan istana. - Bernama