(Video) 1MDB: 72 beg berisi wang tunai, barangan kemas dan 284 kotak beg mewah dirampas


Sejumlah 284 kotak, 72 bagasi mengandungi wang tunai, beg berjenama dan barangan bernilai termasuk jam tangan, adalah antara rampasan yang dilakukan dalam satu operasi pencarian di kondominium mewah milik bekas pemimpin negara lewat malam tadi.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dalam satu sidang media yang berlangsung di perkarangan kondominium mewah itu selepas operasi pencarian tamat sekitar jam 2.15 pagi tadi.

"Anggaran jumlah wang barang kemas, jam tangan yang dirampas tidak dapat kami diberikan buat ketika ini," kata Amar Singh.

Katanya, bagasi yang dirampas turut mengandungi mata wang asing dalam pelbagai denominasi. Namun,  jumlah mata wang asing itu tidak dapat didedahkan kerana perincian berhubung nilai mata wang yang dirampas itu hanya akan dilakukan pada hari yang berlainan.

Beliau turut berkata bahawa pihak polis telah menjalankan penyiasatan di keenam-enam tempat tersebut secara serentak dan menegaskan bahawa ia merupakan suatu pemeriksaan dan bukannya serbuan.



Antara lokasi-lokasi terbabit termasuk di Pejabat Perdana Menteri, kediaman rasmi bekas Perdana Menteri dan empat buah kediaman miliknya.

"Ini adalah pemeriksaan bukan serbuan," tegas Amar Singh.

Beliau turut berkata rampasan dibuat untuk membantu siasatan kes berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) .

"Kami sedang membuat siasatan tentang kes 1MDB," katanya.

Apabila ditanya siapa pemilik unit kondominium mewah itu, Amar Singh menegaskan ia milik seorang 'Tan Sri' tanpa mendedahkan nama sebenar individu itu.

Amar Singh turut menyeru agar pihak-pihak tertentu tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan yang berkait rapat dengan isu 1MDB itu.

Sementara itu, proses penggeledahan polis di kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur dihentikan, 9.30 malam tadi. Proses itu berlarutan hampir 24 jam selepas polis mengambil keputusan untuk membuka peti besi lama milik keluarga Najib yang terletak di tingkat satu kediaman terbabit.

Polis terpaksa menggerudi peti besi berkenaan susulan kunci peti besi terbabit dikatakan hilang dan tidak pernah dibuka sejak 20 tahun lalu selain memanggil beberapa tukang kunci untuk membukanya.

Peguam mewakili Najib, Datuk Harpal Singh Grewal, memberitahu kunci peti besi berkenaan sudah hilang menyebabkan pihak polis terpaksa menggerudinya untuk mengenal pasti isi kandungannya.

"Tiada barang berharga di dalam peti besi itu. Namun tindakan polis menggerudi dalam jangka masa panjang menimbulkan gangguan yang menjejaskan ketenangan di kediaman keluarga Najib," katanya.


Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan Najib dan isterinya Rosmah Mansor, disekat daripada meninggalkan negara.

Dr Mahathir berikrar untuk mendapatkan kembali berbilion-bilion dolar yang dikatakan dilesapkan dari 1MDB.

Dalam perkembangan lain, Dr mahathir mengarahkan status rahsia laporan audit 1MDB digugurkan pada Selasa, yang bakal mendedahkan pelbagai kepincangan dan salah laku tentang bagaimana dana pelaburan strategik itu diuruskan.