(Video) 'Banyak fitnah dan hasutan dilemparkan' - Najib


SIDANG MEDIA KHAS PENGERUSI BARISAN NASIONAL, DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK

Kita baru saja tamat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Satu pilihan raya yang telah memperlihatkan pertembungan yang begitu sengit tetapi ianya merupakan manifestasi amalan dan prinsip demokrasi yang kita anuti. Banyak perkara-perkara yang telah pun digunakan ataupun dijadikan sebagai senjata dalam masa PRU14 termasuklah fitnah dan hasutan yang dilemparkan. 

Antaranya dakwaan Barisan Nasional (BN) akan melakukan penipuan untuk memenangi PRU. Jelas sekali bahawa dengan keputusan PRU14 ini tiada sebarang penipuan yang telah dilakukan oleh pihak BN. 

Ada juga dakwaan kononnya saya dan rakan-rakan telah merancang untuk mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam jam 10 malam untuk mengisytiharkan darurat. Itu satu lagi contoh hasutan dan pembohongan. 

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pemimpin-pemimpin BN di peringat nasional, akar umur dan rakan-rakan dalam BN yang telah bekerja siang dan malam membuat segala-gala program dan kegiatan yang bersabit dengan PRU14. 

Sejak saya mengambil alih jawatan pada 2009, kerajaan telah cuba sedaya upaya untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menentukan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan generasi yang akan datang. Lebih hampir tiga juta pekerjaan diwujudkan, kadar kemiskinan di tahap paling rendah, ekonomi Malaysia telah dapat kita pacu kepada satu kadar pertumbuhan yang boleh dibanggakan dan mendapat pengiktirafan dari IMF dan World Bank. Rakyat secara inklusif mendapat banyak faedah dari insiatif program kerajaan. 

Jelas sekali apa yang kita lakukan mungkin kurang tarikan berbanding apa yang dilakukan oleh pihak lawan. Sekarang rakyat menunggu janji-janji itu dilaksanakan seperti mana yang terkandugn dalam manifesto mereka. 

Pencapaian kita, rekod kita adalah sesuatu yang kita banggakan. Saya sedar ada juga yang tidak sempurna dalam masa kita mentadbir negara ini. Tetapi keutamaan saya adalah sentiasa memastikan kestabilan dan kemakmuran negara ini. 

Saya menerima keputusan yang telah dibuat oleh rakyat dan parti BN adalah komited kepada menghormati prinsip-prinsip demokrasi berparlimen. Oleh kerana tiada parti yang mendapat majoriti mudah, maka Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) akan membuat keputusan siapa yang bakal dilantik menjadi Perdana Menteri. 

Mengikut perlembagaan, lantikan ini adalah keputusan YDPA berdasarkan prisnip siapa yang akan mendapat kepercayaan ahli-ahli Dewan Rakyat. 

BN akan menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat oleh YDPA dan saya ingin menggesa semua rakyat Malaysia berada dalam keadaan tenang dan memberi kepercayaan kepada YDPA. Tentu sekali akan berlaku perubahan dan saya komitedu ntuk melakukan keputusan yang baik untuk kepentingan rakyat dan negara. 

Malaysia ini adalah sebuah negara istimewa. Saya dan rakan-rakan berasa amat bertuah diberi peluang untuk memimpin kerajaan dan negara selama ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini utnuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dalam BN dan semua pihak yang telah memberi sokongan padu kepada BN. 

Kita telah memenangi 79 kerusi dan ini juga merupakan mandat yang kita mesti laksanakan amanah rakyat supaya rakyat akan memberi kepercayaan mungkin lebih lagi kepada BN di masa akan datang. InsyaAllah.