(Video) 'Kesian dengan makcik, jangan buat makcik macam ni' - Peniaga sayur menangis dianiaya


Viral di media sosial sekumpulan lelaki mempertikaikan tindakan seorang peniaga (Selera Rasa Segar) di Bazar Ramadhan di Stadium Tertutup Miri, Sarawak, yang membuang perkakasan berniaga peniaga lain yang didakwa mengganggu laluan masuk ke bazar berkenaan. 

Menurut Mohammad Zul-Hazwan yang memuat naik video kejadian di Facebooknya berkata, lelaki terbabit bertindak lebih sudu dari kuah sedangkan dia tidak mempunyai kuasa untuk menghancur, merampas atau memusnahkan barang niaga orang lain. 

"Setiap tahun bila ramadhan, ada saja nama kedai yang viral. Susah-susah orang berjual sayur, untung sedikit pun nak dikacau. Kalau mereka anggota Majlis Bandaraya Miri (MBM), tak apa juga.

"Takkan dengan orang berjual sayur pun tergugat? Sedangkan mereka berjual nasi lemak, bukannya jual sayur. 

"Jangan sampai bisnes mereka terjatuh baru nak menyesal. Nama dah established tetapi kalau tak pandai jaga, susah," katanya. 


Berdasarkan video, lelaki terbabit mendakwa peniaga sayur berbangsa 'Cina' berkenaan berniaga di tepi laluan masuk ke tapak berniaga yang disediakan sehingga menghalang kenderaan lain yang mahu masuk ke tapak tersebut. 

Dia juga pernah membuat laporan beberapa kali pada pihak MBM, namun tiada sebarang tindakan yang diambil menyebabkan dia bertindak sendiri membuang segala perkakasan berniaga mangsa ke dalam longkang. 

Beberapa individu yang dipercayai peniaga di bazar itu tampil membantu mangsa mengambil kesemua barang-barangnya dalam longkang sebelum mereka beramai-ramai menyerbu dan mempersoalkan tindakan lelaki terbabit yang dianggap tidak wajar. 


Dalam video tersebut, lelaki itu menjelaskan mengapa dia bertindak seperti itu, namun dinafikan oleh sekumpulan lelaki itu yang menegaskan mangsa bukan berbangsa Cina seperti yang disangkakan. 

Mereka juga menegaskan lelaki itu tidak sepatutnya mengambil tindakan seperti itu yang jelas sekali menganiaya peniagaan orang lain. 

Malangnya, lelaki itu enggan mengalah dan mempertahankan tindakannya menyebabkan keadaan bertambah tegang sebelum diredakan oleh seorang lelaki yang menasihati dua beradik berkenaan agar jangan menimbulkan masalah, sebaliknya bersama-sama berniaga mencari rezeki masing-masing secara aman. 

Setelah dinasihatkan, dua beradik berkenaan pergi berjumpa dengan mangsa untuk meminta maaf dan bersalaman bagi menyelesaikan masalah tersebut. 

Difahamkan, mangsa sememangnya sudah lama berniaga sayur di kawasan itu dan tidak pernah mengalami 'gangguan' seperti itu. 






Sementara itu di media sosial, netizen menyelar tindakan lelaki terbabit yang sengaja menimbulkan masalah yang tidak sepatutnya berlaku. Meskipun kedua-dua pihak telah bermaafan, netizen berharap tiada lagi insiden seperti itu berlaku.