(Video) Panjat sampai tingkat 4 untuk selamatkan kanak-kanak dari terjatuh


Seorang kanak-kanak nyaris terjatuh dari tingkat empat, namun berjaya diselamatkan oleh seorang lelaki yang kebetulan ternampak kejadian itu, terus memanjat bangunan kediaman tanpa sebarang bantuan alat keselamatan, lapor Daily Mail

Berdasarkan rakaman video amatur, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu kelihatan bergantung di belabas beranda kediamannya pada tengah hari Sabtu lalu. 


Difahamkan, mangsa ditinggalkan bersendirian sementara bapanya keluar untuk membeli barang keperluan di pasar raya. 

Jirannya yang menyedari mangsa berada dalam keadaan mencemaskan itu cuba mengapai tangannya, tetapi tidak dapat berbuat demikian berikutan jarak yang agak jauh. 

Orang awam yang melihat kejadian itu kemudian segera menghubungi pihak bomba untuk datang membantu. 


Bagaimanapun, Mamoudou Gassama, yang kebetulan turut menyaksikan kejadian itu tanpa berlengah terus memanjat bangunan tersebut dan dia mengambil masa 30 saat untuk sampai ke tingkat empat dan segera menyelamatkan mangsa dari terjatuh ke tingkat bawah sebelum bantuan dari pihak bomba tiba.

Mangsa hanya mengalami kecederaan di bahagian kuku, manakala Gassama calar di beberapa bahagian badannya. 

Polis kini sedang menyiasat kejadian itu. 





Tindakan Gassama itu dipuji ramai pihak termasuk dari Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo yang mengucapkan tahniah di atas keberanian Gassama yang membantu menyelamatkan mangsa. 

Apabila ditanya media mengapa dia berani mengambil tindakan berisiko itu, Gassama berkata, "Saya lakukan sebab keselamatan budak itu.".