(Video) PAS ambil alih Putrajaya selepas Pakatan Harapan selesaikan hutang negara - Mohd Amar

Loading...

Kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa PAS akan mengambil alih kuasa mentadbir kerajaan pusat di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setelah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya menyelesaikan beban hutang negara, dikecam pelbagai pihak. 

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mendedahkan bahawa PAS tidak kisah mengalami kekalahan pada PRU14 9 Mei lalu dan melihat ada hikmah tersendiri apabila PH menang pada PRU14 dan membentuk kerajaan pusat. 

"Tak boleh memerintah Malaysia (pada waktu ini) sebab hutang banyak nak bayar macam mana? Ambillah dulu, selesai dulu hutang Malaysia. Lima tahun lagi kita ambil (kuasa pentadbiran) Malaysia," katanya ketika berucap dalam video yang kini tersebar di media sosial. 

Mohd Amar juga turut mengimbas semula kekalahan PAS di Kelantan pada 1978 di mana banyak pembangunan yang dibuat oleh BN di negeri Serambi Mekah itu sebelum dimenangi oleh PAS semula pada 1990. 

"Serupa kita (PAS) kalah pada 1978, memang kita sedih. Tapi Tuhan ni pandai, dalam tempoh 12 tahun, Dia bagi orang lain memerintah, orang lain buat pembangunan, pejabat, siap semuanya, bagi kita balik. 

"Kita boleh pakai yang dah siap. Jadi, kita bagi mereka (PH) untuk selesai masalah," katanya lagi. 

Sementara itu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyelar kenyataan Mohd Amar yang memperlihatkan betapa lemahnya jiwa dan kerdilnya semangat PAS dalam menghadapi kemelut politik negara. 

Beliau berkata, kenyataan Mohd Amar itu jelas menunjukkan mengapa parti berlandaskan Islam itu gagal menguasai negeri-negeri di Pantai Barat dan hanya mampu mentadbir Kelantan dan Terengganu sahaja. 

"Mungkin daripada awal beliau dan pemimpin PAS sudah menghidu PH akan memenangi Putrajaya, lalu PAS mengambil langkah bersendirian dan tidak mahu bergabung kerana takutkan kemenangan yang menjadi sebab PAS menanggung bebanan hutang negara. 

"Saya amat hairan dengan kenyataan seperti itu diungkap oleh seorang naib presiden sebuah parti Islam. Tidakkah ini mencerminkan pemimpin PAS berfikiran pasif dan hanya mahu mengambil kesempatan terhadap politik negara daripada pihak lain tanpa berusaha membantu menyelesaikan masalah negara yang kronik dan rumit sekarang?," katanya. 


Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Mohd Amar sepatutnya memberi cadangan kepada kerajaan PH bagaimana memulihkan ekonomi dan membayar hutang negara. Akan tetapi PAS tidak tahu bagaimana menyelesaikan masalah negara dan tidak mahu menjadi sebahagian dari rakyat yang berusaha membangunkan negara. 

"Jika itulah kenyataan dan mentaliti pemimpin PAS, maka tidak hairan PAS tidak mampu melangkah jauh walaupun sudah berusia lebih 60 tahun.

"Kepada rakyat, ayuh kita bekerja bersama bagi membina semula negara, tinggalkan mereka (PAS) yang hanya mahu bersenang-lenang dan hanya tahu mengambil kesempatan atas usaha kita bersama selama ini.

"Nanti kita akan kenal siapa yang benar ikhlas bekerja untuk negara dan siapa pula yang hanya mahu mengejar jawatan dan kedudukan untuk kepentingan diri," kata Mahfuz. 

Di media sosial, netizen turut kecewa dengan kenyataan Mohd Amar yang dianggap mengambil nama di atas usaha pihak lain tanpa mahu berusaha sendiri sekali gus menunjukkan pemimpin parti itu tidak berkaliber untuk diangkat memerintah Putrajaya di PRU15. 

"Inilah PAS, mahu tunggu sampai PH berjaya jelaskan hutang dan membangunkan negara baru mahu ambil alih. Kerja tak nak buat, asyik makan gaji buta. Lebih baik terus dari PASu bunga sahaja," kata Kenneth Khong. 

"Pengakuan ikhlas dari salah seorang pemimpin PAS yang mereka tidak berkemampuan untuk memerintah negara dalam keadaan negara susah. Harap-harap pemimpin seperti ini ditolak," kata Azwan Omar. 


Sumber: MalaysiaKini, mStar Online