'Well nama dah kotor, saya akan diamkan diri daripada media sosial sehingga raya' - Faiz Roslan


Setelah ditegur dan dikecam teruk oleh netizen termasuk beberapa selebriti lain mengenai tindakan seorang lelaki berperwatakan perempuan mengaku dirinya tidak berpuasa dalam video viral, Faiz Roslan tampil memohon maaf. 

Permohonan maaf yang dimuat naik di akaun Twitternya itu juga menjelaskan mengenai perkara sebenar di sebalik rakaman video 'Live tak puasa' itu. 

Faiz juga sedar, banyak pihak yang mengecamnya di media sosial sehingga menyebabkan dia terpaksa mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dari media sosial buat seketika. 


"Hari ini saya buka Twitter, saya search nama saya. Sangat banyak (orang) yang memarahi saya. Saya terima dengan hati terbuka. Saya akan berhenti membuat video untuk waktu yang lama. Now I got the lesson. 

"Kita sesama manusia, memaafkan satu sama lain. Saya minta maaf. Sudah banyak tweet yang buruk pasal saya, video saya di explore Instagram, macam-macam lagi. 

"Well, nama dah kotor, apa boleh buat? Now saya redha dan saya akan mendiamkan diri untuk sementara waktu," tulisnya. 

Mengenai video 'live tak puasa' itu, Faiz menjelaskan dia berkata demikian berikutan ada individu yang melemparkan pertanyaan sensitif dan menuduh dia tidak layak untuk berpuasa. Berang dengan tindakan individu berkenaan, maka Faiz tanpa berfikir panjang terus membuat kenyataan balas yang akhirnya memakan diri. 

"Live tak puas, okey, so sebenarnya live itu tak full. At first ada orang yang tanya saya dengan agak kasar pasal saya ini tak layak puasa apa semua and yes I memang marah. So I pun berkatalah sedemikian, tapi saya tak kata saya tak solat. 

"Saya hanya mengatakan saya bukanlah orang yang alim atau solat sepanjang masa. Saya tak bangga ya, mohon jangan buat andaian sendiri, nanti berlaku fitnah. 

"Okey, so (video) live itu saya bercakap tentang kalau tak solat, puasa kita tak dikira. Saya bukan nak menyuruh korang semua tidak berpuasa. Saya cuma memberitahu saya pun sedar diri sendiri. Saya tak takat tak solat tak payah puasa. Puasa saja, tak salah langsung. 

"Okey, kemudian rakan saya di belakang tengah makan. Rakan saya pada waktu itu memang tak boleh berpuasa. Ini bukan alasan tak nak dikecam. Memang masa itu kawan saya ada gastrik dan demam.

"Ye, memang saya salah sebab tunjuk kawan saya sedang makan. Saya minta maaf sekali lagi," tulis Faiz. 

Enggan terus dikecam dan hatinya disakiti, Faiz membuat keputusan untuk 'berhenti' seketika dari media sosial. Malah, Faiz tidak memaksa netizen untuk percaya dan membiarkan netizen menilai sendiri penjelasannya itu. 

"Saya mengambil keputusan untuk mendiamkan diri daripada media sosial sehingga raya. Ya, ada orang kata saya boleh larikan diri dari media tetpai bukan dari netizen dan Allah. Saya tahu itu. 

"Pada yang tidak percaya dengan tweet ini, terpulang dan terserah. Saya cerita perkara yang betul. Kepada yang masih membenci saya, tak apalah. Saya maafkan," tulis Faiz sebelum akaun Twitter itu dinyahaktifkan. 





Sumber: mStar Online

BERITA BERKAITAN: