Agong perkenan pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara


Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Agong telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Dalam kenyataan bertarikh 4 Jun yang dihantar Istana Negara kepada Bernama awal pagi ini, Wan Ahmad Dahlan berkata Agong bertitah bahawa pelantikan tersebut tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Setelah mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tentang pelantikan (i) Peguam Negara Malaysia, (ii) hak Bumiputera serta (iii) peranan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga memperkenan penamatan perkhidmatan Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Malaysia,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif kebelakangan ini, yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia.

“Seri Paduka Baginda menitahkan bahawa baginda mempunyai kewajipan untuk menegakkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi agama Islam,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir telah mencadangkan peguam terkemuka Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Mohamad Apandi, kepada Yang di-Pertuan Agong. - Bernama