'Bila ada anak perempuan...' - Pesanan untuk ibu bapa

Loading...

Kata orang tua, "Menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan". Mungkin ada benar kata-kata itu apabila ramai ibu bapa yang mengambil mudah dalam soal menjaga anak-anak terutamanya anak perempuan. 

Mendidik anak perempuan sememangnya mencabar. Tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi karenah mereka, Allah SWT dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar.

Ibu bapa didiklah anak perempuan mengenai aurat dan pergaulan dari mencemarkan maruah diri dan nama baik keluarga serta agama. Semoga perkongsian di bawah memberi manfaat kepada kita semua.


ANAK sulung saya Allah beri seorang perempuan. Jujur, masa dia kecil-kecil dulu tak terasa sangat cabarannya. Tetapi bila dia dah besar, semakin terasa cabarannya. 

Mak sentiasa pesan, bila ada anak perempuan jangan ambil mudah, jangan buat tak endah. Tanggungjawabnya berat dan tugasnya amat besar. Menjaga anak perempuan tidak sama dengan anak lelaki. 

Bila ada anak perempuan, jangan dibelikan pakaian yang seksi. Bukanlah mahu diajar anak bertudung litup, tetapi cukup mengajar anak berpakaian sopan, tidak terdedah sana sini, tidak ketat dan menonjol. Sebaliknya, ajarkan mereka mengenal erti malu, ajar pakai pakaian yang sopan-sopan dan bersederhana menikmati zaman kanak-kanak. 

Bila ada anak perempuan, tak boleh dibiar tidur sana sini. Mereka perlu diajar untuk tidur setempat di dalam bilik. Bahayanya ada di mana-mana dan jangan percaya kepada sesiapa. 


Bila ada anak perempuan, ajar mereka mengenai sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat. Jangan biarkan anak berseorangan, sentiasa menemani mereka. Biar kita susah hari ini dari menangis di kemudian hari. 

Bila ada anak perempuan, ajarkan mereka tentang harga diri. Ajar mereka untuk sayang pada diri sendiri kerana diri mereka sangat berharga. 

Bila ada anak perempuan, terangkan kepada mereka tentang haid dan kehamilan bila mereka sudah baligh. Usah malu untuk membeli ilmu, bimbang mereka cari di tempat salah. 

Bila ada anak perempuan, pilihlah rakan untuk mereka. Kenali juga siapa kawan mereka. Rakan yang baik menjadi penguat, rakan yang nakal menjadi pemusnah. 

Bila ada anak perempuan, selalulah diperiksa telefon bimbit mereka. Periksa dan ambil tahu apa yang dikongsi dan apa yang ditulisnya. 


Bila tiba saatnya kau perlu melepaskan mereka, hidup berjauhan, sentiasa ingatkan mereka jagalah diri baik-baik, jagalah maruah diri dan jagalah maruah keluarga. Biarlah orang kata kita kolot, biarlah orang kata kita syadid. 

Bila ada anak perempuan, berdoalah. Mohon dijaga kehormatan diri mereka. Mohon dijaga keselamatan mereka dan moga-moga Allah jaga dan lindung. 

Perkongsian untuk kita bersama ibu dan ayah.