'Cikgu 'buat' sebab Dinie tak pandai' - Ibu terkejut anaknya mengalami lebam dan calar teruk di badan

Loading...

Hairan melihat kesan lebam dan calar pada badan anak perempuannya mendorong Nur Hazwani Ahmad Mazlan untuk bertanya, siapakah yang memperlakukan anaknya seperti itu. Namun, gadis kecil bernama Dinie itu mendakwa kesan-kesan itu dibuat oleh rakan-rakannya ketika bermain. 

Pada awalnya, Nur Hazwani tidak begitu endah memandangkan anaknya sudah memberikan jawapan yang sama. Sehinggalah baru-baru ini beliau sendiri melihat kesan lebam dan calar di badan anaknnya itu lebih teruk dari sebelum ini. 

"Selalu terbaca tentang anak orang (lain) je. Tetapi kali ini berlaku pada anak sendiri. Tak pernah terfikir pun nak jadi sampai ke tahap seperti ini. Dah banyak kali, bila balik sekolah saja ada kesan lebam dan calar. Tak ambil serius la sebab dia beritahu kawan dia yang buat.

"Kali ini yang paling teruk. Apabila ditanya, jawapan dia tetap sama, kawan buat. Okey, tak apa. Saya sabar menunggu pagi. Nak tekan tanya juga sebab saya rasa tak puas hati. Mungkin naluri kita sebagai ibu boleh rasa bahawa dia menipu. Semalaman saya tak tidur lena, gagah terlelap lepas soq tadi je," tulis si ibu berkenaan. 



Pagi keesokan harinya, Nur Hazwani menyiapkan anaknya seperti biasa dan selesai semuanya, bermulalah sesi 'soal siasat' di antara mereka berdua. 

"Jam 7.30 pagi, bangunkan dia, bagi mandi pakai baju apa semua. Kemudian saya duduk di depan dia tanya elok-elok. 

"Cuba Dinie beritahu pada Mama betul-betul. Paha Dinie, muka Dinie ini siapa yang buat sebenarnya? Kalau tipu Mama, berdosa tak masuk syurga," 

"Dia diam seketika sebelum membuka mulut memberitahu, "Cikgu buat Dinie.. sebab Dinie tak pandai. Tapi cikgu pesan kalau mama tanya, beritahu kawan (yang) buat masa bermain. Telinga Dinie pun cikgu pusing." 

"Masa dia beritahu tentang telinga itu, baru saya selak rambut untuk melihat keadaan telinganya. Allahuakbar, telinga anak saya. Kemudian saya terus buat keputusan untuk pergi berjumpa dengan cikgu itu di sekolah," tulisnya. 


Tidak diketahui apa perkembangan terkini mengenai pertemuan di antara Nur Hazwani dan guru terbabit. Namun, netizen menasihatkan wanita berkenaan membuat pemeriksaan perubatan sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.