Jamal lari ikut laluan tikus, Musa keluar negara melalui Brunei

Loading...

Sebelum ini, Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menafikan laporan media kononnya beliau telah melarikan diri ke negara jiran dan menegaskan beliau masih berada di dalam negara ini. 

Bagaimanapun, hasil Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya bahawa Jamal melarikan diri ke Indonesia menggunakan laluan tikus. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya telah mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa Indonesia untuk mengesan Jamal. 

"Daripada risikan kita, kita percaya dia kini berada di Indonesia dan kami kini sedang gait mengesan lokasi sebenar Jamal. 

"Kita percaya dia menggunakan laluan tikus untuk keluar dari negara ini selepas pihak Imigresen tidak mempunyai rekod menunjukkan dia keluar dari negara ini," katanya. 

Terdahulu, Jamal mengeluarkan kenyataan meminta pihak berkuasa tidak perlu melibatkan pihak Interpol untuk mencarinya kerana dia masih berada di negara ini. 

Dalam kenyataannya itu Jamal juga berkata, dia tidak perlu melarikan diri ke negara jiran atas beberapa kes kesalahan kecil yang dilakukannya itu memperuntukkan denda RM400 sekiranya disabitkan bersalah. 

Sementara itu, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman pula dipercayai menjadikan Brunei sebagai transit sebelum keluar meninggalkan negara. 

"Kita tengah kesan beliau. Ada yang mengatakan berada di Brunei tetapi tiada lokasi spesifik. 

"Saya juga sudah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa Brunei untuk membantu kita mengesan Musa," kata Fuzi. 

Minggu lalu, seorang netizen mendakwa ternampak kelibat Musa bersama dengan ahli keluarganya di Stesen Kereta Api St. Pancras International, London. 

Musa dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah.

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sedang menyiasat bekas Ketua Menteri dipercayai 'membeli' dua ADUN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan RM20 juta untuk menyertai Barisan Nasional bagi membentuk kerajaan Sabah. 

Sumber: Harian Metro